My Add

Thursday, 19 April 2012

ASEAN digesa tingkat usaha hapus keganasan

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 19 April, 2012: ASEAN perlu menerima hakikat bahawa keganasan bukannya satu ancaman yang hanya terbatas kepada negara tertentu atau sekumpulan negara.

Sebaliknya, skop rangkaian dan aktiviti keganasan adalah merentas sempadan dan impaknya, merentas rantau, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menerusi langkah pencegahan efektif, beliau berkata, ASEAN perlu meningkatkan kerjasama untuk menghapuskan punca rangkaian keganasan.

Beliau berkata, perkumpulan serantau itu perlu meningkatkan kerjasama dalam proses undang-undang luar wilayah, berkongsi kepakaran teknikal dan maklumat, dan bertindak sebagai satu forum dengan meneruskan perbincangan mengenai cara-cara efektif untuk memerangi keganasan.

Muhyiddin berkata demikian semasa menutup Forum Putrajaya 2012 di sini hari ini. Forum tiga hari itu dianjurkan sempena pameran dan persidangan Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2012.

Muhyiddin menegaskan selain memerangi keganasan, ASEAN juga terpaksa berdepan dengan pelbagai isu lain yang turut mengancam keselamatan serantau dan menjejaskan ekonomi dan kesejahteraan sosial penduduk.

Timbalan Perdana Menteri berkata ancaman berkenaan termasuk penghijrahan pendatang tanpa izin, pemerdagangan manusia, penyeludupan dadah, lanun dan jenayah alam sekitar merentas negara.

"Kemunculan ancaman-ancaman keselamatan bukan tradisional ini, jika tidak dibanteras, akan mengugat kestabilan rantau kita dan menghalang proses untuk mewujudkan komuniti ASEAN yang makmur, harmoni dan aman,” katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment