My Add

Friday, 27 April 2012

ATM kecam Mohammad Nizar Jamaluddin

ZULKIFELI Mohd. Zin bersalaman dengan anggota MALCON 4 ISAF yang akan berlepas ke Afghanistan di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia, Subang, Selangor, semalam. - UTUSAN/MOHD. NAIM AZIZ

Oleh SOFIAN BAHAROM dan SYUKRI SHAARI

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 26 April, 2012: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengecam dakwaan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang mengaitkan pasukan itu dengan rampasan kuasa jika Barisan Nasional (BN) kalah pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Panglimanya, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin menyifatkan tuduhan itu sebagai berbaur politik dan hasutan sehingga boleh mengelirukan rakyat serta menjejaskan keselamatan negara.

Sehubungan itu, satu laporan polis akan dibuat oleh ATM terhadap dakwaan palsu Ahli Dewan Undangan Negeri Pasir Panjang tersebut dalam masa terdekat supaya siasatan lanjut dapat dilaksanakan dan tindakan undang-undang sewajarnya boleh diambil.

"Saya mewakili ketiga-tiga cabang pertahanan negara menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tidak bertanggungjawab itu. Ini kerana ia tidak benar dan berniat jahat.

"Dewasa ini, wujud banyak pihak tidak bertanggungjawab yang sentiasa berusaha meracuni pemikiran rakyat bertujuan menghakis keyakinan mereka terhadap ATM dan kerajaan pimpinan BN serta tidak terkecuali individu tertentu dalam usaha melindungi politik mereka.

"Justeru semua pihak diseru tidak terpengaruh dengan tohmahan pihak berkaitan kerana ATM sentiasa mendokong Perlembagaan dan bersikap profesional," katanya pada sidang akhbar di Kementerian Pertahanan di sini hari ini.

Turut hadir, Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Zulkifli Zainal Abidin; Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Rodzali Daud dan Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Mohammed Noordin Ali.

Dalam ceramahnya di Ipoh, Perak, Ahad lalu, Mohammad Nizar menyatakan beliau telah dimaklumkan kononnya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memanggil dan bertanyakan kepada semua kepimpinan tentera darat serta udara tentang tindakan mereka sekiranya BN tumbang pada PRU-13.

Ini bukan kali pertama pembangkang mengheret ketumbukan itu ke dalam kancah politik tempatan kerana sebelum ini, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah menjaja nama ATM sebagai 'merestui' pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri keenam pada 16 September 2008.

Pihak pembangkang sebelum ini turut mengaitkan ATM dengan penyelewengan undi pos kononnya anggota organisasi itu diarahkan oleh pegawai pemerintah untuk menanda ribuan kertas undi pos.

Bagaimanapun tuduhan-tuduhan berkenaan didapati tidak berasas dan bermotifkan kepentingan politik pembangkang semata-mata.

Sementara itu di LUMUT, Panglima Tentera Laut, Tan Sri Abdul Aziz Jaafar menyifatkan kenyataan Mohammad Nizar sebagai satu fitnah.

Beliau menegaskan, angkatan tentera termasuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) adalah organisasi profesional yang tidak akan memihak kepada mana-mana parti politik.

"Sudah banyak kali kita terangkan bahawa angkatan tentera termasuk TLDM adalah profesional dan tidak bersikap berpihak kepada mana-mana parti politik.

"Apa yang dilemparkan oleh Mohammad Nizar adalah tuduhan berbentuk fitnah dan ia amat mendukacitakan kerana ia mampu mencetuskan konflik serta perasaan tidak puas hati kepada banyak pihak terutamanya anggota tentera," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas meraikan 109 anak-anak yatim yang menyertai pelayaran bersama kapal KD Mahawangsa di sini hari ini.

Abdul Aziz berkata, sebagai organisasi yang bertanggungjawab menjaga keselamatan negara, TLDM tetap berpegang teguh kepada Perlembagaan serta sumpah taat setia kepada raja dalam memastikan negara ini dalam keadaan selamat dan tenteram. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment