My Add

Friday, 27 April 2012

Dakwaan tidak pernah berlaku dalam sejarah

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 26 April, 2012: Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) dan Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) mendesak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin menunjukkan bukti berhubung dakwaan yang mengaitkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan rampasan kuasa jika Barisan Nasional (BN) kalah dalam pilihan raya umum akan datang.

Kedua-dua presiden persatuan itu bersependapat, sekiranya Mohammad Nizar gagal menunjukkan bukti, maka jelaslah ia satu bentuk tuduhan berbaur hasutan dan fitnah dengan agenda politik semata-mata.

Presiden PBTM, Datuk Muhammad Abdul Ghani berkata, dakwaan mengaitkan ATM diarahkan untuk merampas kuasa tidak pernah berlaku dalam sejarah negara ini.

"Jika ATM nak rampas kuasa sepatutnya ketika peristiwa 13 Mei dahulu, bagaimanapun ia tidak pernah berlaku kerana ia bukan budaya orang Melayu, bukan budaya orang Islam.

"Jangan sesekali mempolitikkan isu keselamatan negara kerana tugas pasukan keselamatan seperti polis dan tentera adalah untuk menjaga keamanan negara daripada sebarang ancaman.

"Tuduhan tidak berasas sebegini boleh membawa perpecahan, merugikan ekonomi dan kesejahteraan negara," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam pada itu, Presiden PBPM, Shafie Bakri mendesak Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya menjalankan siasatan ke atas dakwaan tersebut.

"Kenyataan Mohammad Nizar berbaur hasutan serta satu tuduhan melampau yang menimbulkan keresahan rakyat dan perasaan benci terhadap Perdana Menteri dan pasukan keselamatan ATM.

"Tuduhan itu tidak mencerminkan budaya ATM yang menghormati demokrasi dan institusi raja-raja, bukan sewenang-wenangnya mengetepikan Yang di-Pertuan Agong untuk merampas kuasa negara ini.

"Hentikanlah ucapan provokasi dan tuduhan melampau sedemikian kerana ia tidak menguntungkan mana-mana pihak, sebaliknya menjejaskan keharmonian negara sejak kemerdekaan dicapai," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment