My Add

Wednesday 4 April 2012

Jangan cemar integriti kehakiman - Ketua Hakim Negara

Oleh NORLIZAH ABAS

PUTRAJAYA, RABU, 04 April, 2012: Ketua Hakim Negara, Tan Sri Arifin Zakaria berpesan kepada pelbagai pihak bahawa para hakim tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan menghina mahkamah terhadap mereka yang didapati mencemar maruah badan kehakiman.

Beliau menegaskan, mahkamah memandang serius sebarang perbuatan yang mencemar integritinya dan tindakan menghina mahkamah bertujuan menjamin pentadbiran keadilan agar ia dapat dilaksanakan tanpa halangan dan gangguan.

Sehubungan itu, Ketua Hakim Negara berpesan agar semua pihak bertanggungjawab menghormati institusi kehakiman dengan menyalurkan sebarang ketidakpuasan melalui cara yang sah lagi berhemah.

“Janganlah sesekali mengambil tindakan yang boleh mencemarkan integriti dan maruah institusi kehakiman hanya kerana tidak berpuas hati dengan sesuatu keputusan,’’ ujar beliau ketika berucap di Istana Kehakiman di sini hari ini.

Arifin berkata demikian pada upacara angkat sumpah jawatan dan taat setia 11 pegawai kehakiman terdiri daripada empat hakim Mahkamah Persekutuan, dua hakim Mahkamah Rayuan, tiga hakim Mahkamah Tinggi Malaya dan dua hakim Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment