JASIN, RABU, 18 April, 2012: Datuk Seri Najib Razak akan mengumumkan jumlah durian runtuh bakal diterima oleh 112,635 peneroka FELDA seluruh negara susulan penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) pada perhimpunan raksasa di Jerantut, Pahang, pada 8 Mei ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan, berkata program di FELDA Padang Piol itu dijangka dihadiri kira-kira 30,000 orang, termasuk masyarakat peneroka dan waris mereka, juga bakal menjadi medan pertemuan empat mata antara rakyat dengan Perdana Menteri.
“Pengumuman Perdana Menteri akan menggembirakan peneroka FELDA dari 317 tanah rancangan seluruh negara. Ini bermakna, satu lagi janji beliau kepada rakyat, khususnya warga FELDA bakal ditepati.
“Saya yakin lebih 30,000 masyarakat tempatan termasuk peneroka atau waris membanjiri FELDA Padang Piol untuk menjadi saksi terhadap usaha kerajaan membela nasib rakyat,” katanya selepas menyampaikan ucaptama Wacana Minda 1Malaysia di FELDA Tun Ghaffar Baba Kemendor, dekat sini malam kelmarin.
Program itu dianjurkan bersama kerajaan negeri, Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme (IKSEP) Melaka, Jawatankuasa Penyelaras Pembangunan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Rim, Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) serta Biro Tata Negara (BTN).
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan, Penerangan, Perpaduan dan Pengguna negeri, Datuk Ghazale Muhamad; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rim, Mohd Yazed Khamis; Pengerusi IKSEP, Datuk Mohd Said Yusof serta Pengurus Besar IKSEP, Datuk Aziz Ujang.
Najib ketika berucap pada Majlis Bersama Perdana Menteri di FELDA Triang Tiga, Bera, Pahang baru-baru ini berkata, beliau akan mengumumkan nilai durian runtuh kepada peneroka berikutan penyenaraian FGVH pada majlis himpunan raksasa warga FELDA bulan depan. - BERITA HARIAN
No comments:
Post a Comment