My Add

Tuesday 10 April 2012

Kerajaan peruntuk RM9.4 juta bina IBS di Sabah, Sarawak

RANAU, SELASA, 10 April, 2012: Kerajaan memperuntukkan RM9.4 juta untuk melaksanakan pembinaan bangunan sekolah baru di pedalaman Sabah dan Sarawak yang menggunakan Sistem Binaan Berindustri (IBS) bermula Mac lalu. 

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Shaziman Abu Mansor, berkata bagi fasa pertama, 55 bilik darjah tambahan dan 48 unit rumah guru di 25 buah sekolah di pedalaman Sabah dipilih untuk pelaksanaan sistem itu dalam tempoh tiga bulan sejak 1 Mac lalu.

Shaziman berkata, sekolah berkenaan membabitkan lima daerah di Zon 1 dan 2 iaitu Pitas, Ranau, Keningau, Nabawan dan Penampang.

"Kebanyakan sekolah di Sabah memerlukan sekolah baru yang boleh dibina dengan cepat kerana kebanyakan sudah uzur dan boleh mengancam keselamatan pelajar selain kekurangan kemudahan asas tertutama bilik darjah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa lawatan kerja ke salah sebuah sekolah yang terbabit di negeri ini iaitu Sekolah Kebangsaan Tagudon Lama, di sini, hari ini. 

Shaziman berkata, sembilan buah sekolah turut akan dibina di Sarawak menggunakan sistem yang sama bermula 16 April ini, namun kos masih di peringkat untuk kelulusan Kementerian Kewangan. 

"Saya yakin penggunaan IBS dapat menjimatkan masa kerana dapat siap dalam tempoh dua minggu berbanding sistem konvensional yang mengambil masa enam hingga lapan bulan untuk membina bilik darjah baru," kata Shaziman. 

Beliau turut menyarankan kontraktor tempatan supaya menggunakan sekurang-kurangnya 70 peratus kandungan IBS dalam projek mereka bagi mengurangkan kos jangka panjang penyelenggaraan bangunan. 

Mengenai SK Tagudon Lama yang terletak kira-kira 10 kilometer dari Gunung Kinabalu itu, Shaziman berkata, bangunan baru sekolah itu yang memulakan pembinaan pada 1 April lalu akan siap seperti yang dijadualkan dalam tempoh dua minggu lagi. 

SK Tagudon Lama mempunyai pelajar seramai 69 orang dan 15 orang guru. 

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika merasmikan Minggu Pembinaan Antarabangsa Malaysia 2012 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur mengumumkan kerajaan akan mengguna pakai sistem itu dalam pembinaan bangunan seperti sekolah, hospital dan balai polis khususnya di kawasan luar bandar yang menjimatkan kos serta mesra alam. 

Sistem itu adalah sebahagian daripada Program Transformasi Luar Bandar (RTP) yang terkandung di bawah Dasar Transformasi Nasional. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment