TELUPID, SABTU, 07 April, 2012 : Sikap masyarakat yang tidak ambil peduli mengenai tempat berpotensi yang membolehkan nyamuk Aedes membiak dikenal pasti menjadi punca bagi peningkatan kes demam denggi di negara ini.
Anggota Parlimen Beluran, Datuk Ronald Kiandee, berkata faktor ketara adalah sikap ataupun tingkah laku segelintir penduduk yang tidak meluangkan masa untuk memeriksa rumah dan kawasan sekitar bagi memastikan nyamuk Aedes tidak membiak.
"Masyarakat memainkan peranan penting kepada usaha mencegah demam denggi dan ia bukan tanggungjawab kerajaan saja melalui pelbagai kempen dan usaha pencegahan yang dilakukan oleh Kementerian Kesihatan," katanya.
Berucap pada majlis pelancaran Program Combi peringkat daerah Beluran di sini, hari ini, Ronald yang juga Timbalan Speaker Dewan Rakyat berkata, kecanggihan teknologi masa kini, pergerakan manusia yang tidak terbatas dan pembangunan tidak terancang seperti projek terbengkalai juga menggalakkan penyebaran wabak demam denggi.
"Ini menjadikan peningkatan habitat pembiakan nyamuk Aedes di sebalik arus pembangunan dan pemodenan dalam aktiviti manusia," katanya.
Combi atau 'Komunikasi untuk Perubahan Tingkah Laku' memberi tumpuan kepada aspek tingkah laku masyarakat. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment