BERA, SABTU, 31 Mac, 2012: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau akan membuat pengumuman pada Mei depan yang disifatkannya sebagai "durian runtuh" kepada para peneroka bersempena penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH).
Perdana Menteri berkata, pengumuman itu disifatkan beliau bakal membuatkan para peneroka "tersandar, rebah dalam kejutan".
"Banyak mana? Saya tak akan umumkan hari ini. Banyak mana? tunggu, kita akan buat pengumuman nanti," katanya ketika berucap pada majlis Pemimpin Bersama Peneroka Gugusan Bera di Felda Triang 3, dekat sini hari ini.
Turut hadir pada majlis yang dihadiri lebih 10,000 peneroka itu ialah Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan.
Perdana Menteri berkata, pengumuman itu akan dibuat dalam satu perjumpaan besar-besaran bersama warga peneroka di Pahang pada Mei depan.
Berkenaan penyenaraian FGVH pada Jun depan, Najib berkata kerajaan memutuskan untuk menyenaraikannya di Bursa Malaysia bagi menjana kekayaan berlipat ganda yang akhirnya akan memberi manafaat secara langsung kepada peneroka.
"Kerajaan ambil keputusan supaya FGVH ini disenaraikan kerana kita ingin aset Felda ini untuk menjana kekayaan berlipat ganda seterusnya kekayaan melonjak itu kita akan pulangkan kepada peneroka," katanya.
Perdana Menteri berkata penyenaraian itu merupakan satu lonjakan berganda buat alaf baru untuk Felda dan menurutnya "peneroka juga akan terima durian runtuh, (peneroka) tidak akan terfikir jumlah durian runtuh itu".
Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri berkata Felda juga menyediakan peruntukan lebih RM1 bilion bagi program pembesaran rumah peneroka di seluruh negara.
"Sehingga tahun ini, Felda telah meluluskan RM813.8 juta pinjaman kepada 25,455 peneroka Felda tanpa dikenakan sebarang bayaran faedah.
"Selain jumlah yang diluluskan itu, Felda telah menambahkan RM200 juta lagi bagi membolehkan lebih ramai peneroka mendapat pinjaman untuk membesarkan rumah mereka.
Bagi Gugusan Felda Bera sahaja, Felda telah meluluskan RM5 juta kepada 144 peneroka memerusi program tersebut," kata Najib.
Perdana Menteri juga berkata Felda akan terus membela masyarakat peneroka termasuk membina rumah untuk anak-anak mereka yang merupakan generasi kedua supaya mempunyai kediaman yang selesa.
"Di Felda Triang 3 sahaja, Felda telah membina 169 buah rumah kos rendah dan 126 rumah kos sederhana yang kini 95 peratus telah siap.
"Bagi rumah kos rendah yang akan dijual pada harga RM36,000 (seunit), Felda telah memberi subsidi sebanyak RM63,000 bagi setiap unit dan RM15,000 subsidi bagi setiap unit rumah kos sederhana yang dijual pada harga RM90,000," katanya. – BERNAMA
No comments:
Post a Comment