My Add

Sunday, 8 April 2012

Penduduk mahu KR1M, Coop1M di setiap mukim

SEBAHAGIAN pengunjung memeriahkan Jelajah Janji Ditepati di Stadium Batu Pahat, Batu Pahat, semalam.


BATU PAHAT, SABTU, 07 April, 2012: Penduduk luar bandar mengharapkan kemudahan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) dan Coop1Malaysia (Coop1M) diperluaskan ke setiap mukim di seluruh negara bagi memastikan usaha meringankan beban golongan berpendapatan rendah dinikmati secara lebih menyeluruh.

Pengunjung program Jelajah Janji Ditepati (JJD) di Stadium Batu Pahat hari ini, menyifatkan inisiatif kerajaan itu amat bermakna untuk rakyat, tetapi perlu diperluaskan ke kawasan luar bandar.

Mereka berpendapat KR1M kini hanya dinikmati penduduk bandar, sedangkan penduduk luar bandar juga berdepan kenaikan harga barangan yang sama atau mungkin lebih tinggi.

Suri rumah, Zainah Selamat, 62, dari Peserai, mengakui terkejut apabila melihat harga barangan asas yang dijual oleh KR1M dan Coop1M, di sini jauh lebih rendah.

“Saya terkejut melihat perbezaan harga produk 1Malaysia amat ketara dengan yang dijual dalam pasaran. Kedai ini perlu dibuka di kawasan kampung, sekurang-kurangnya satu mukim ada sebuah kedai ini,” katanya.

Warga emas, Misdari Mohd Yunus, 62, berkata anaknya yang tinggal di Puchong, Selangor sering bercerita mengenai kemudahan KR1M yang menjadi tumpuannya berbelanja bagi mengurangkan beban keluarga di Lembah Klang.

“Bila dengar ada program ini, saya datang untuk tinjau sendiri dan ternyata harga yang murah adalah satu rahmat untuk rakyat. Saya harap kerajaan buka segera kedai ini di kawasan luar bandar kerana kami juga mahu menikmati membeli barangan pada harga yang jauh lebih murah,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd (MYDIN), syarikat yang diamanahkan bagi menguruskan operasi KR1M, Datuk Ameer Ali Mydin, berkata KR1M yang ketika ini mempunyai 33 cawangan di seluruh negara, akan ditingkatkan kepada 85 menjelang akhir tahun ini.

Beliau berkata, KR1M di Sabah dan Sarawak dijangka beroperasi mulai Jun ini dengan menawarkan harga antara 30 hingga 40 peratus lebih murah bagi 250 jenis produk barangan asas.

“Ketika ini secara purata KR1M merekodkan jualan RM10 juta sebulan dengan setiap premis mencatatkan RM10,000 sehari, tetapi KR1M Tok Bali, Kelantan merekodkan jualan purata tertinggi iaitu RM18,000 sehari, manakala KR1M Pekan RM15,000 sehari.

“Walaupun KR1M merekodkan nilai jualan tinggi setiap bulan ia membawa keuntungan kecil kerana matlamat kami adalah mendokong hasrat kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang mahu membantu rakyat,” katanya. - BERITA HARIAN

No comments:

Post a Comment