My Add

Friday, 27 April 2012

Perkukuh kewangan Islam

NAJIB bersalaman dengan perwakilan selepas menyampaikan ucaptama pada Forum Penyumbang Global 2012 di Kuala Lumpur, semalam. Turut sama, Pengerusi Bersama forum tersebut, Shahid Malik (dua,kiri). - BERNAMA

Oleh RAJA SYAHRIR ABU BAKAR

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 26 April, 2012: Datuk Seri Najib Tun Razak menyeru semua pihak yang terlibat dalam sistem kewangan Islam supaya bersama-sama memperkukuhkan bidang berkenaan dengan menyerap semangat agama itu sendiri, seterusnya menjamin keharmonian sejagat.

Perdana Menteri berkata, para penggiat kewangan Islam perlu memperkembangkan sistem kewangan mikro Islam sebagai satu produk yang menguntungkan dan beretika.

Menurutnya, sistem kewangan mikro Islam mampu menyokong aktiviti keusahawanan sosial dan pada masa sama melabur dalam dana sosial jangka panjang.

Kata beliau, produk kewangan mikro Islam juga merupakan kewangan yang terangkum, keusahawanan dan perkongsian risiko menerusi usaha sama kewangan dan kelebihan ini tidak dimiliki oleh kewangan mikro konvensional.

“Kebelakangan ini beberapa institusi kewangan mikro menawarkan perkhidmatan kepada pelanggan Islam berpendapatan rendah dan memenuhi keperluan mereka untuk mendapatkan produk berlandaskan prinsip kewangan Islam," katanya.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama sempena Forum Penyumbang Global 2012 (Global Donors Forum) anjuran Bank Muamalat di sini hari ini.

Forum tiga hari itu yang bermula hari ini bertema ‘Impak Dermawan dan Pelaburan: Menghubungkan Inovasi Dengan Realiti’.

Perdana Menteri berkata, para dermawan Islam dan sistem kewangan itu perlu mencari jalan terbaik bagi menyesuaikan haluan masing-masing dengan perkembangan sistem global yang sentiasa mengalami perkembangan dan kemajuan.

Menurut beliau, ini kerana institusi kewangan Islam belum berjaya menjadikan perkhidmatan kewangan itu dapat diakses secara meluas oleh rakyat miskin atau membasmi kadar kemiskinan yang ketara di seluruh dunia.

Perdana Menteri berkata, asas kepada kewangan Islam ialah semangat dermawan tulen yang terserlah menerusi amalan memberi serta perniagaan yang mendukung potensi transformasi kehidupan berbilion penduduk miskin. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment