My Add

Tuesday 10 April 2012

Permohonan program SARA 1Malaysia melebihi sasaran

KUALA LUMPUR, SELASA, 10 April, 2012: Sambutan terhadap Skim Amanah Rakyat 1Malaysia (SARA 1Malaysia) begitu memberangsangkan dengan lebih 100,000 permohonan diterima sehingga 21 Mac untuk menyertai skim tersebut sejak dilancarkan Januari lalu, Dewan Rakyat diberitahu hari ini. 

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Donald Lim Siang Chai ketika menjawab soalan tambahan Datuk Mohamad Aziz (BN-Sri Gading) status terkini skim tersebut memaklumkan bahawa 62,427 permohonan SARA 1Malaysia sudah diluluskan.

Kepada cadangan Mohamed supaya skim itu diperluaskan bagi meliputi sehingga satu juta isi rumah memandangkan ia membawa manfaat besar kepada rakyat, Lim berkata beliau akan memanjangkan cadangan itu kepada Menteri Kewangan untuk pertimbangan.
SARA 1Malaysia diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk membantu 100,000 isi rumah berpendapatan kurang dari RM3,000 sebulan di negara ini terbabit dalam pelaburan untuk menjana pendapatan tambahan. 

Program yang diuruskan Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) itu memberi jaminan pulangan antara RM5,000 hingga RM13,000 selepas lima tahun. 

Kepada soalan asal yang dikemukakan Datuk Ngeh Koo Ham (DAP-Beruas), Lim berkata institusi kewangan iaitu Maybank, CIMB Bank, RHB Bank dan Bank Simpanan Nasional dipilih sebagai ejen ASNB kerana keempat-empat bank itu mempunyai rangkaian cawangan melebihi 1,300 buah seluruh negara. 

Katanya, ia akan memudahkan setiap lapisan masyarakat mendapat peluang saksama untuk menyertai skim ini dan membuat bayaran balik pinjaman kelak. 

"Pihak bank juga menawarkan suatu pakej istimewa kepada peserta SARA 1Malaysia dengan kadar faedah yang rendah. Ini sudah tentu akan dapat membantu SARA 1Malaysia dalam menjana pulangan yang munasabah dan pengagihan keuntungan yang berterusan kepada peserta skim ini," katanya. 

Lim juga menjawab soalan Datuk Idris Haron (BN-Tangga Batu) yang ingin tahu mengapa selepas rombakan cukai jalan ke atas motosikal 110cc ke bawah, syarikat insurans sudah menaikkan kadar polisi insurans kepada pemilik. 

Dalam hal ini, Lim menjelaskan penyelarasan premium insurans motor perlu dilakukan memandangkan pampasan yang dibayar syarikat insurans semakin meningkat. 

Ia juga bagi memastikan syarikat insurans dapat menyediakan perlindungan yang diperlukan dan orang ramai mendapat akses kepada perlindungan insuran motor secara berterusan, katanya. 

Katanya, di bawah Rangka Kerja Tarif Motor Baru, penyelarasan premium insurans motor dilaksanakan pada jumlah yang kecil dan secara beransur-ansur selama empat tahun bermula Januari 2012. 

"Penyelarasan ini mengambil kira profil risiko bagi setiap kategori kenderaan termasuk pengalaman tuntutan masing-masing. 

"Pada masa sama, penyelarasan premium ini akan dilengkapi dengan pelaksanaan beberapa inisiatif bagi meningkatkan kecekapan dan mengurangkan ketirisan dalam proses tuntutan insurans motor," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment