My Add

Friday, 27 April 2012

Rakyat tak dapat hidup hanya atas janji kosong pembangkang

KABONG (Sarawak), JUMAAT, 27 April, 2012: Datuk Seri Najib Razak berkata, rakyat tidak dapat hidup dengan harmoni jika terus terpedaya dengan pembangkang yang hanya pandai menabur janji bagi meraih sokongan undi setiap kali menjelang pilihan raya. 

Perdana Menteri berkata, pembangkang hanya mampu memperdagangan janji kosong dan selepas mendapat apa yang dihajati, mereka tidak mampu menunaikan janji kepada rakyat.

"Pembangkang mungkin boleh menjanjikan kita bermacam-macam...pada pilihan raya umum 2008, mereka buat banyak janji di Selangor tetapi hari ini kebanyakan janji itu tidak ditunaikan," katanya pada majlis pemimpin bersama rakyat yang dihadiri oleh 5,000 penduduk dari sekitar Kabong di sini hari ini.

Najib berkata, berbeza dengan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang mana pemimpinnya sentiasa memastikan rakyat tidak kira di bandar mahupun luar bandar mendapat nikmat pembangunan secara adil dan saksama. 

Katanya, agenda pembangunan yang dibawa kerajaan BN bukan untuk jangka masa yang singkat sahaja tetapi program yang jangka panjang yang berterusan. 

"Agenda ini berpanjangan dan diperkenalkan oleh Allahyarham bapa saya (Tun Abdul Razak), namun ia tidak akan dilaksana jika tiada kesinambungan kepimpinan sebagai mana dalam BN hari ini dan kini sampai giliran saya untuk teruskan," katanya. 

Prihatin dengan masalah penduduk luar bandar, Najib berkata, kerajaan sudah meletakkan program pembangunan kemudahan asas seperti jalan raya, bekalan elektrik dan bekalan air bersih sebagai agenda penting dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA). 

Katanya, jika rakyat terus memberikan mandat mentadbir negara kepada BN untuk tempoh lima tahun lagi, kerajaan boleh melaksanakan lebih banyak program memakmurkan rakyat dan ia bukan satu janji kosong. 

"Kita minta mandat bukan semata mata kita gila kuasa, kita nak tipu rakyat tapi kerana kita ada agenda besar yang perlu diselesaikan," katanya. 

Najib berkata, BN perlukan sokongan yang berterusan daripada rakyat Sarawak yang selama ini telah banyak memberikan kepercayaan kepada pucuk pimpinan BN. 

Pada majlis itu, Najib mengumumkan projek pembinaan jalan raya dan perparitan bernilai hampir RM26 juta bagi kawasan Parlimen Saratok. 

Projek jalan raya itu membabitkan Jalan Ulu Krian/ULu Awik (RM18 juta), Jalan Ulu Kabong/Station DID Sesang (RM5 juta), naik taraf jalan Kampung Melango dan Pagan Saratok (RM2.5 juta), jalan kawasan padi Lubok Nibong (RM950,000) dan projek perparitan di Kabong dan Nyabor berharga RM200,000. 

Dalam pada itu, Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata, hampir 700 kilometer jalan baru dibuat di Sarawak di bawah NKRA dan ia membuktikan kerajaan BN tidak hanya bercakap kosong dengan rakyat. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment