My Add

Friday, 27 April 2012

Sasaran 200,000 pengunjung diyakini tercapai

KOTA KINABALU, KHAMIS, 26 April, 2012: Permodalan Nasional Berhad (PNB) yakin sasaran awal untuk menarik 200,000 orang pengunjung di Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2012 mampu dicapai apabila mencatatkan sejumlah 168,000 pengunjung pada hari keenam.

Presiden dan Ketua Eksekutif PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman berkata, pameran MSAM itu menyaksikan peningkatan jumlah kunjungan orang ramai setiap hari.

Pada hari ketiga MSAM, ia telah merekodkan jumlah pengunjung seramai 100,000 orang.

Sehubungan itu, beliau menyeru warga Sabah yang masih belum berkesempatan mengunjungi tapak pameran, segera berbuat demikian sebelum pameran tersebut ditutup pada Sabtu ini.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijadual menutup MSAM 2012, Sabtu ini.

Tapak pameran akan ditutup secara rasmi pada pukul 9 malam pada hari berkenaan bagi memastikan warga Sabah yang belum berkesempatan menyertai pameran itu tidak ketinggalan menyaksikan pameran pada saat-saat akhir.

MSAM yang julung-julung kali diadakan di Sabah itu telah dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 20 April lalu.

Pameran pelaburan terbesar negara anjuran PNB itu telah menjelajah ke seluruh negara dan mencatatkan jumlah pengunjung melebihi dua juta orang.

MSAM yang mula dianjurkan pada 2002 di Kuala Lumpur bermatlamat memberi pendedahan mengenai ilmu pelaburan dan perancangan kewangan dengan membabitkan penyertaan anak-anak syarikat milik PNB dan syarikat-syarikat yang dikuasai oleh PNB.

Antaranya Amanah Saham Nasional Bhd., Malayan Banking Bhd., Sime Darby Bhd., NCB Holdings Bhd., UMW Holdings Bhd. dan I&P Group serta penyertaan badan-badan pengawas selia kewangan seperti Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti (SC).

Dalam pada itu, tapak pameran MSAM terus menjadi tumpuan orang ramai menjelang hari-hari terakhirnya.

Pengunjung tidak mahu melepaskan peluang mengikuti pelbagai aktiviti anjuran oleh syarikat-syarikat PNB yang bermula seawal 9 pagi hingga 9 malam.

Aktiviti yang paling banyak menerima penyertaan pengunjung adalah UMW 5D Adventures oleh UMW Holdings Bhd. dan Investment Race oleh Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua).

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati pengangkutan awam yang disediakan secara percuma untuk mengambil orang ramai ke tapak MSAM sesak setiap masa.

Seorang pemandu yang mahu dikenali sebagai Awang berkata, setiap hari beliau berulang-alik sebanyak 12 kali dari tapak pameran MSAM ke Dataran Wawasan.

“Setiap kali mengambil penumpang, bas mesti penuh sesak dengan penumpang.

“Tarikan pameran ini amat bagus, tetapi sampai sekarang saya sendiri belum berkesempatan melihatnya dan berharap dapat menyertai pameran sebelum ia ditutup," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment