*NAJIB memetik buah rock melon di rumah pelindung hujan sambil diperhatikan Noh Omar (kiri) dan Ahmad Zahid Hamidi (dua kiri) pada pelancaran projek Teras Strategi Lautan Biru Kebangsaan 3 - Pengeluaran Rock Melon Fertigasi di Sepang, semalam. - UTUSAN/ZAKI AMIRUDDIN
SEPANG, KHAMIS, 26 April, 2012: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sektor pertanian dan industri asas tani negara tidak mempunyai pilihan melainkan menggunakan teknologi terkini untuk menangani pelbagai cabaran dan kekangan yang menghalang peningkatan produktivitinya secara mapan.
Kata Perdana Menteri, antara cabaran dan kekangan yang perlu ditangani adalah perubahan cuaca, peningkatan harga input seperti baja dan racun, keselamatan makanan dan kebergantungan kepada buruh asing.
Sehubungan itu, Najib berkata, penggunaan sistem 3T (tanam, tinggal dan tuai) yang digunakan masa dahulu tidak lagi sesuai pada masa ini disebabkan pelbagai kekangan dalam sektor pertanian.
‘‘Kita perlu cari jalan kreatif yang boleh menangani cabaran-cabaran yang saya sebutkan itu dan teknologi serta keupayaan kita lakukan inovasi merupakan anak kunci dalam menghadapi dugaan serta cabaran dalam bidang pertanian,’’ kata Perdana Menteri.
Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Teras Strategi Lautan Biru Kebangsaan 3 - Pengeluaran Rock Melon Fertigasi, di sini hari ini.
Turut hadir, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Perdana Menteri mengambil contoh penanaman tembikai madu (rock melon) di bawah strategi tersebut yang disifatkan sebagai model sangat baik bagi membolehkan para petani menerapkan penggunaan teknologi baru.
Projek berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) itu dibangunkan sejak akhir 2010 dengan diselaraskan oleh Syarikat Melonaire Farm Sdn. Bhd. dan disertai hampir 400 peserta Projek Azam (Akhiri Zaman Miskin) Tani.
Sebelum ini, lot milik Kementerian Pertahanan tersebut didapati tidak sesuai untuk tanaman kerana tanahnya masam dan sentiasa banjir.
Penggunaan teknologi fertigasi dalam rumah pelindung hujan bagaimanapun memberi nafas baru kepada tanah tersebut dan kini tembikai madu yang ditanam mula dituai dan dipasarkan.
Perdana Menteri turut mengajak pihak berkepentingan dalam sektor pertanian negara melihat Belanda yang seluas negeri Pahang dan hanya tiga peratus daripada 16 juta penduduknya terlibat dalam industri pertanian mampu menjadi antara pengeksport utama makanan dunia. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment