My Add

Wednesday 4 April 2012

Speaker Kedah tunggu pengesahan Jabatan Insolvensi

Oleh MOHD. SHARIZA ABDULLAH

ALOR SETAR, RABU, 04 April, 2012: Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah akan mendapatkan pengesahan rasmi daripada Jabatan Insolvensi mengenai status sebenar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Nerang, Datuk Syed Sobri Syed Hashim yang mengumumkan dirinya muflis.

Speaker DUN Kedah, Datuk Dr. Abdul Isa Ismail berkata, pengesahan status tersebut penting bagi membolehkan beliau menentukan tindakan seterusnya berhubung perkara berkenaan.

''Selagi tiada pengesahan hitam putih daripada Jabatan Insolvensi, saya tidak dapat membuat sebarang pengumuman kerana tidak dapat memastikan kesahihan status sebenar Syed Sobri,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Malam tadi Syed Sobri mengumumkan bahawa beliau kini muflis setelah gagal membayar baki hutangnya dengan bank tempatan berjumlah RM8 juta.

Abdul Isa berkata, pihaknya akan menyegerakan urusan untuk mendapatkan pengesahan daripada Jabatan Insolvensi berhubung status Syed Sobri kerana perkara tersebut merupakan keperluan mendesak.

Ditanya apakah perkara yang boleh berlaku ke atas Syed Sobri berikutan pengumuman muflis itu, beliau berkata, ADUN Kuala Nerang itu akan hilang kelayakan sebagai wakil rakyat jika Jabatan Insolvensi mengesahkannya bankrap tanpa dilepaskan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment