My Add

Monday 23 April 2012

Taja siswa protes jalanan

Parti politik didakwa biaya pelajar kita jalani latihan demonstrasi di luar negara

BATU PAHAT, AHAD, 22 April, 2012: Dua mahasiswa institusi pengajian tinggi awam (IPTA) mendedahkan, sebuah parti politik menaja mahasiswa untuk mempelajari dan berlatih cara mengadakan demonstrasi jalanan yang dianjurkan pertubuhan di negara luar termasuk Indonesia.

Tujuan utama kumpulan itu adalah bagi menimbulkan kekacauan dan provokasi kepada pihak berkuasa seterusnya menarik perhatian media serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) asing.

Sebelum dihantar mengikuti kursus ‘demonstrasi jalanan’ itu, mahasiswa itu dipujuk bagi mengikuti perjuangan parti politik berkenaan.

Mereka yang mendedahkan perkara itu kepada Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi pada satu majlis pertemuan minggu lalu, berkata seorang pelajar IPTA yang digantung pengajian dan sering kelihatan pada setiap demonstrasi jalanan yang membabitkan parti politik itu, turut dihantar bersama mereka ke Indonesia.

Selain itu, mereka juga dihantar ke lapangan bagi memerhatikan bagaimana peserta demonstrasi melakukan provokasi dan menimbulkan kekacauan kepada ketenteraman awam serta pihak berkuasa selain diajar mengenai doktrin manipulasi bagi mendapat perhatian awam dan paling utama media dan NGO asing.

Difahamkan parti itu semakin giat menghantar mahasiswa untuk tujuan itu, sejak tahun lalu.

Mohd Puad berkata, dua mahasiswa itu juga berkata, mereka dijanjikan pelbagai habuan termasuk wang ringgit dan semua perbelanjaan ditanggung oleh parti politik itu. 

“Mereka juga diberi jaminan akan dibela dan 'dijaga' jika dikenakan tindakan disiplin atau undang-undang daripada pihak universiti dan pihak berkuasa,” katanya kepada pemberita selepas menutup Program Mesra Rakyat Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Kawasan Batu Pahat 2012, di Kampung Sungai Jambi, Rengit, dekat sini, semalam.

Mohd Puad berkata, mahasiswa itu memberitahunya, provokasi yang dilakukan amat penting bagi mendapat perhatian media asing yang kemudian akan merakamkannya sebelum menyiarkan ke seluruh dunia.

“Mahasiswa itu turut ditanamkan dengan doktrin bahawa mereka dijulang sebagai wira jika gambar demonstrasi mereka disiarkan media antarabangsa,” katanya.

Pendedahan mahasiswa ini katanya, memberi pengesahan dakwaan ada parti politik di negara ini menerima dana asing yang disalurkan NGO luar bagi menimbulkan kekacauan dalam negara.

“Jika tidak masakan mahasiswa bersetuju dengan arahan dan menerima ideologi mereka termasuk mengadakan demonstrasi jalanan jika tidak dijanjikan kemewahan hidup selain dihantar ke luar negara untuk dilatih berdemonstrasi dengan segala perbelanjaan ditanggung,” katanya.

Difahamkan pelajar institusi pengajian tinggi ini dihantar secara berperingkat sekurang-kurangnya 10 orang setiap perjalanan dan tinggal di negara yang dipilih kira-kira dua minggu.

Ada juga di antara mereka yang pulang ini melatih pelajar lain termasuk dari institusi pengajian tinggi swasta (IPTS). - BERITA HARIAN

No comments:

Post a Comment