My Add

Wednesday 5 October 2011

Barisan Nasional Perak runding pertukaran kerusi: MB

IPOH: Parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) Perak sedang berunding untuk menimbang kemungkinan melakukan pertukaran kerusi sebagai strategi parti itu dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, langkah itu adalah sebahagian daripada formula penting dengan mengambil kira keperluan melakukan pengubahsuaian bagi memantapkan keampuhan jentera pilihan raya.

“Kita tentunya mempunyai pilihan sendiri mengenai sesuatu kawasan yang parti komponen boleh menang. Ada juga parti komponen yang perlukan perubahan, jadi kita tukar (kerusi) dengan parti komponen yang lain.

“Ini sebahagian formula yang sedang kita bincangkan pada peringkat ini,” katanya pada majlis perjumpaan bersama pelanggan di Dewan Serbaguna Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini semalam.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek baru-baru ini menyatakan kesediaan parti itu untuk menimbang pertukaran kerusi dengan parti komponen lain dengan syarat calon yang diketengahkan mampu memberi kemenangan kepada BN.

Soi Lek yang juga Pengerusi MCA Perak bagaimanapun menegaskan, parti itu tidak mahu mana-mana parti komponen sengaja memohon pertukaran kerusi semata-mata untuk mendapatkan kerusi tambahan.

Ditanya sama ada perundingan mengenai pertukaran kerusi itu sudah selesai, Zambry berkata, ia masih dijalankan dan perubahan boleh dilakukan pada bila-bila masa mengikut keadaan.

“Secara prinsipnya ia sudah hampir selesai tapi kita tidak boleh kata ia sudah diputuskan kerana penilaian masih dibuat dari semasa ke semasa,” tambahnya.

Menjawab pertanyaan mengenai cabaran bekas Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat supaya Soi Lek bertanding di kerusi Parlimen Ipoh Barat dan Ipoh Timur yang kini dikuasai DAP, Zambry berkata, beliau tidak mahu mencampuri masalah dalaman MCA.

Katanya, walaupun kedua-dua kawasan tersebut dianggap kawasan ‘hitam’ bagi BN kerana merupakan kubu pembangkang, tetapi tidak bermakna BN tidak mampu merampas semula kerusi berkenaan.

“Sukar untuk kita tentukan sesuatu kawasan itu hitam kerana ada kalanya kawasan yang dikatakan putih pun boleh jadi hitam. Ini kerana politik itu bersifat dinamik.

“Soalnya adalah kesungguhan kita bekerja untuk rakyat. Dahulu ada yang anggap kita tidak mungkin dapat merampas kerusi Ipoh Timur dan Ipoh Barat tetapi kita pernah melakukannya. Jadi kalau ada kata kita tidak mungkin menang, saya tidak percaya,” tegasnya. - Utusn

No comments:

Post a Comment