My Add

Wednesday 5 October 2011

Gerakan desak kerajaan DAP tarik balik janji konsesi SPICE

PULAU PINANG: Kerajaan DAP Pulau Pinang didesak agar menarik balik perjanjian konsesi projek pembinaan pusat konvensyen dan pameran antarabangsa bawah tanah dikenali sebagai SPICE demi kepentingan rakyat negeri ini.

Ketua Biro Undang-undang Gerakan, Baljit Singh berkata, tindakan menarik semula perjanjian konsesi SPICE itu boleh dilakukan sekiranya persetujuan antara Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan pemaju tersebut dapat dicapai.

Katanya, tindakan tersebut adalah penting dan harus dilakukan kerana perjanjian konsesi itu mengandungi perkara yang akan merugikan penduduk negeri ini.

"Jika MPPP dan pemaju betul-betul melakukan kesalahan dalam perjanjian konsesi SPICE ini, mereka sebenarnya boleh menariknya balik dan mengeluarkan satu (perjanjian) yang lebih adil.

"Namun, ia hanya boleh ditarik balik di atas persetujuan kedua-dua pihak," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Gerakan, Jalan Macalister di sini semalam.

Perjanjian Konsesi SPICE ditandatangan oleh MPPP dengan pemaju, Eco Meridian Sdn. Bhd. (EMSB), anak syarikat SP Setia Berhad pada 19 Ogos lalu dengan kos RM300 juta di atas tapak Pusat Konvensyen Antarabangsa Pulau Pinang (PISA).

Namun, pembinaan SPICE hanya memberi kelebihan kepada pemaju menerusi pelbagai keistimewaan diberikan serta menyebabkan hasil yang sepatutnya dinikmati rakyat negeri itu hilang begitu saja.

Sementara itu, Pengerusi Biro Kerajaan Tempatan Gerakan negeri, Teh Leong Meng berkata, perjanjian konsesi SPICE perlu ditarik balik dengan secepat mungkin kerana semakin ramai penduduk di negeri ini telah membuat aduan kerana mengetahui ia mempunyai banyak kelemahan dan lebih memihak kepada pemaju.

"Saya sendiri telah membuat aduan dengan menyatakan tujuh perkara mengenai pembinaan SPICE ini kepada pihak MPPP sejak Februari lalu, tetapi sampai sekarang pun mereka tidak membalas surat saya," katanya.

Leong Meng juga mendedahkan kekeliruan berhubung pembinaan 450 unit rumah kos sederhana kerana laman web MPPP menyatakan harga jualannya tidak melebihi RM72,500 seunit tetapi perjanjian konsesi menyatakan harga jualan seunit tidak kurang daripada RM72,500.

"Mana satu yang betul. Ini mengelirukan rakyat," katanya. - Utusan

No comments:

Post a Comment