My Add

Monday 3 October 2011

Barisan Nasional perlu rangka dasar progresif

Foto
NAJIB bersama Soi Lek dan timbalannya, Datuk Liow Tiong Lai (dua dari kanan) selepas merasmikan Perhimpunan Agung MCA Ke-58 di Wisma MCA Jalan Ampang, semalam
                                          Pendekatan baru kena sesuai kehendak semasa, penuhi aspirasi rakyat

                                                      Oleh Osman Lisut, Shaarani Ismail dan Lum Chee Hong

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) digesa merangka satu pendekatan baru yang bersesuaian dengan kehendak dan keperluan semasa untuk memenuhi aspirasi semua rakyat Malaysia, kata Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

Soi Lek berkata, pendekatan baru perlu untuk memberi keyakinan kepada rakyat di negara ini bahawa masa depan mereka sentiasa terjamin di bawah pemerintahan BN, selain kehendak dan aspirasi golongan muda tidak sama dengan generasi lama sekarang.

"Negara di sekeliling kita sudah melangkah ke depan dengan dasar progresif dan Malaysia tidak boleh (mengekalkan dasar lama). MCA mahu melihat pendekatan baru yang mendukung kerajaan dan menyatukan semua kaum di negara kita.

"Kita mahu sebuah negara adil, demokratik, telus dan mewakili suara rakyat serta negara yang mengambil pendekatan tengah supaya suara rakyat sentiasa didengari. Pendekatan baru ini tidak bermaksud kita cuba mencabar atau menulis semula kontrak sosial.

"Cadangan ini mungkin dikecam kumpulan tertentu tetapi kita perlu merangka satu formula lebih sesuai dengan peredaran zaman untuk memenuhi aspirasi setiap rakyat di negara ini,” katanya berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) MCA Ke-58 di Wisma MCA di sini, semalam.

Soi Lek berkata, kerajaan juga sepatutnya memberi ruang untuk mendengar suara rakyat yang lebih lantang sekarang, selain ahli politik tidak boleh berpura-pura mengetahui segala perkara. 
"Kerajaan juga perlu melihat kemungkinan memansuhkan Akta Penerbitan dan Mesin Cetak serta menetapkan tempoh masa secukupnya bagi berbuat demikian, termasuk inisiatif untuk liberalisasi sektor lain dalam ekonomi.

"Malah, Majlis Perundingan Gaji Kebangsaan (NWCC) perlu dianggotai wakil kesatuan sekerja, sektor swasta dan badan profesional, sekali gus menjadikan tenaga kerja kita lebih berdaya saing.

"Kerajaan juga perlu mengambil langkah meringankan beban ditanggung rakyat melalui bantuan tunai ‘one-off’ kepada mereka berpendapatan rendah dan miskin, golongan tua serta pesara,” katanya.

Soi Lek turut mengecam segelintir pemimpin BN yang mempamerkan sikap bongkak dan menggunakan bahasa tidak sepatutnya menerusi laman sosial untuk berkomunikasi dengan rakyat. 

Tanpa mendedahkan identiti pemimpin itu, beliau berkata siapa makan cili dia rasa pedasnya.

"Bagi pelaksanaan Bahasa Inggeris sebagai subjek wajib lulus dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), satu jadual waktu khusus perlu ditentukan kerajaan, selain MCA menyokong bahasa ibunda digalakkan dan dijadikan mata pelajaran wajib di sekolah kebangsaan.

"MCA turut berharap Najib yang juga Menteri Kewangan memberi peruntukan khas RM30 juta kepada Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK), selain menaik taraf Kolej Tunku Abdul Rahman (KTAR) menjadi Kolej Universiti," katanya.

Soi Lek juga berkata, MCA sudah bersiap sedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 dan muncul sebagai parti yang lebih bersatu dan stabil selepas pemilihan pucuk pimpinan tahun lalu.

Katanya, daripada 222 kerusi Parlimen di negara ini, hanya 46 kawasan majoriti masyarakat Cina.

“Jika pengundi Cina marah kerajaan dan menentang BN dalam PRU 13, paling banyak pun mereka boleh menang 46 kerusi, tetapi MCA hari ini berlainan berbanding PRU 12 kerana kami sudah diterima rakyat. Pelbagai pendekatan sudah dilakukan untuk meyakinkan rakyat apa yang MCA lakukan,” katanya.

INFO: Resolusi MCA

*Tolak hukum hudud yang diperjuangkan PAS 

*Tolak sebarang jawatan dalam kerajaan jika pencapaian parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) terus merosot. 

*Mengutuk tindakan pakatan pembangkang yang menyebarkan ideologi politik teokratik serta semangat kebencian dan meracuni pemikiran rakyat.

*Menyokong Program Transformasi Politik, termasuk pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) serta pindaan kepada Akta Mesin Cetak dan Penerbitan. MCA juga mendokong gagasan 1Malaysia yang diilhamkan Datuk Seri Najib Razak bagi menjadikan Malaysia lebih demokratik.

*Meminta kerajaan melaksanakan Skim Gaji Minimum untuk mengelakkan pekerja tempatan dieksploitasi selain mengurangkan kebergantungan pekerja asing.

*Menyokong penggunaan bahasa ibunda sebagai bahasa penghantar bagi mata pelajaran Matematik dan Sains di SJKC dan menggesa kerajaan membenarkan bahasa Inggeris bagi mata pelajaran sama di peringkat sekolah menengah.

*Mahu Keluhuran Perlembagaan Persekutuan terus dipertahankan sebagai undang-undang tertinggi negara. - Berita Harian

No comments:

Post a Comment