My Add

Wednesday 5 October 2011

Harapan rakyat


Oleh Nazura Ngah
nazura@bharian.com.my

MENJELANG Belanjawan 2012 yang akan dibentangkan Datuk Seri Najib Razak, Jumaat ini, semua lapisan masyarakat tentunya menaruh harapan besar agar kebajikan dan kepentingan mereka diberi perhatian. Apakah harapan mereka?

Pertimbang cadangan NGO
Belanjawan perlu bersifat seimbang, menjurus kepentingan rakyat
KUALA LUMPUR: Pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menghadiri siri dialog bersama Kementerian Kewangan sebelum ini berharap kerajaan dapat memberi pertimbangan terhadap cadangan dikemukakan mereka pada Belanjawan 2012 yang akan dibentangkan Jumaat ini.

Bagi mereka, cadangan itu perlu diberi pertimbangan sewajarnya bagi memastikan belanjawan berkenaan bersifat seimbang dan mencakupi pelbagai aspek yang menjurus kepada kepentingan dan kebajikan rakyat.

Pengarah Komunikasi Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata antara cadangan yang dibangkitkan ialah projek penambahbaikan pengangkutan awam seluruh negara terutama kawasan luar bandar dan tidak hanya dilaksanakan di Lembah Klang.
Beliau berkata, cadangan lain penambahan peruntukan kesihatan minimum tujuh peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) selaras dengan komitmen Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Setiausaha Agung CUEPACS, Lok Yim Pheng pula mahu kerajaan meneliti semula skim gaji kakitangan sektor awam, selain menimbang semula pemberian bonus dua bulan gaji dan langkah menyerap pekerja kontrak dalam perkhidmatan awam atau melanjutkan tempoh perkhidmatan kontrak mereka.

Katanya, CUEPACS turut mencadangkan kerajaan meluluskan had umur persaraan 60 tahun, meneliti peluang kenaikan pangkat dan gred dengan mengambil kira kelayakan akademik berasaskan prinsip pembelajaran sepanjang hayat dan penetapan gaji minimum.

“CUEPACS juga memohon Elaun Sara Hidup (Cola) dipanjangkan kepada semua termasuk kakitangan yang menginap di kuarters dengan nilai seragam RM300 sebulan,” katanya.

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Shamsuddin Bardan, berkata pihaknya mencadangkan supaya kerajaan menurunkan kadar cukai pendapatan korporat daripada 25 peratus kepada 20 hingga 22 peratus.

Beliau berkata, ia adalah kadar lebih kompetitif jika dibandingkan dengan Singapura yang mengenakan cukai 17 peratus.

Selain itu, katanya, penurunan cukai pendapatan individu daripada 26 peratus kepada 20 hingga 22 peratus juga perlu diberi pertimbangan sewajarnya selain pemberian insentif menerusi pelepasan cukai berganda kepada majikan yang mengambil pekerja warga emas bagi menggalakkan lebih ramai majikan yang mahu memberi peluang kepada golongan berkenaan. - Berita Harian

No comments:

Post a Comment