My Add

Saturday, 26 November 2011

Agenda Melayu dalam gagasan 1Malaysia terjamin: Muhyiddin

thumbnail
Muhyiddin Yassin
PUTRAJAYA, SABTU, 26 November, 2011:
ORANG Melayu tidak perlu khuatir dengan komitmen berterusan UMNO untuk menjamin dan memperjuangkan agenda Melayu dalam Gagasan 1Malaysia, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Tegas Timbalan Presiden UMNO, agenda Melayu dan gagasan yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu selari dengan tuntutan semasa untuk menjamin kelangsungan perjuangan negara.

“Dalam konteks ini kita tidak boleh pisahkan perjuangan orang Melayu dengan perjuangan memartabatkan bangsa dan negara kita.

“Dan disebabkan ini, Gagasan 1Malaysia itu secara terangkumnya adalah mengambil kira kepentingan perpaduan antara kaum, mewujudkan kesatuan dari segi pemikiran dalam soal kita nak bangunkan negara dalam semua bidang.

“ (Justeru) ia tidak bermakna kita abaikan perkara yang menjadi asas terbentuknya UMNO iaitu untuk membela nasib bangsa dan kaum Melayu dan bumiputera yang menjadi pendukung utama dalam negara,” kata beliau pada sidang akhbar khas di sini semalam.

Muhyiddin berkata demikian ketika mengutarakan isu-isu semasa yang bakal dibangkitkan perwakilan pada Perhimpunan Agung UMNO 2011 minggu depan.

Muhyiddin ditanya tentang tanggapan kemungkinan perjuangan agenda Melayu akan tersekat dalam Gagasan 1Malaysia sekali gus mengundang kecurigaan orang Melayu terhadap UMNO.

Menurut beliau, perjuangan dalam Gagasan 1Malaysia juga selaras dengan Perlembagaan UMNO dan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan tentang hak bangsa dan agama-agama lain.

“Tapi dalam soal ini asas perjuangan kita untuk membela orang Melayu tidak pernah kita letakkan kedua atau ketiga, itu sudah menjadi keutamaan sejak UMNO tertubuh sampai sekarang,” katanya.

Ditanya tentang tanggapan pihak tertentu bahawa beliau dilihat rasis kerana memperjuangkan hak-hak Melayu, Muhyiddin berkata:

“Itu tanggapan sahaja dan saya tidak pernah berubah dari segi sikap dan pendirian saya dalam soal ini, baik dari segi perjuangan orang Melayu dan rakyat Malaysia.

“Seperti juga dengan Presiden kita, beliau tidak lebih sebagai lebih Melayu atau kurang Melayu kerana kita masih lagi mempunyai pendirian yang sama dan jelas akan soal kedudukan kita baik dalam parti atau kerajaan.”

Kata beliau: “Sebab itu bagi saya kalau timbul pun soal begitu kerana ada pihak seperti pembangkang yang nak menconteng kita dengan satu gambaran seolah-olah kita ini lebih cauvinistik sedangkan parti seperti DAP lah lebih cauvinistik.” - Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment