KUALA LUMPUR, SABTU, 26 November, 2011:
MAHASISWA universiti perlu bijak memilih organisasi politik yang ingin dianggotai terutamanya yang mengamalkan kebebasan bersuara termasuk bersedia menerima sebarang kritikan.
MAHASISWA universiti perlu bijak memilih organisasi politik yang ingin dianggotai terutamanya yang mengamalkan kebebasan bersuara termasuk bersedia menerima sebarang kritikan.
SITI MAISARAH SHEIKH RAHIM dalam laporanya memetik Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Teknologi Mara (UiTM), Tan Sri Dr. Wan Mohd. Zahid Mohd. Nordin sebagai berkata, pelajar perlu diberi kesempatan untuk menyoal apa sahaja bagi menggalakkan mereka berfikir secara kritis dan memberikan hujah berbeza kerana mereka tidak dilatih untuk menjadi ‘pak turut’.
‘‘Kita perlu lihat adakah organisasi itu membenarkan pandangan berbeza? Saya tidak mahu matlamat seperti ini tergugat apabila pelajar menyertai mana-mana organisasi.
‘‘Matlamat universiti bukan untuk melahirkan ‘seorang tukang sorak’ atau ‘tukang maki’ tetapi melahirkan pelajar yang mempunyai pemikiran mendalam tanpa mengikut emosi apabila membuat sebarang komen,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Kerajaan semalam membuat keputusan akan meminda Seksyen 15 Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1974 bagi membenarkan mahasiswa yang berumur 21 tahun ke atas menjadi ahli parti politik.
Sambil menyokong pandangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya universiti perlu bebas daripada amalan politik kepartian, beliau berkata, perkara itu selaras dengan falsafah pendidikan negara bagi membina daya keintelektualan seorang pelajar, berhemah dan mempunyai pandangan seimbang tanpa berpihak kepada mana-mana kepentingan.
Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak pula berkata, mahasiswa dan warga universiti perlu bersikap terbuka dan bijak tanpa mencampuradukkan perkembangan ilmu serta pemahaman politik apabila kerajaan bakal meminda Seksyen 15 AUKU.
Katanya, terdapat dua implikasi apabila akta tersebut dipinda iaitu mahasiswa perlu menggunakan kebebasan yang diberi dengan penuh tanggungjawab tanpa mengabaikan pelajaran.
“Mahasiswa juga perlu bersikap rasional dengan tidak membawa sebarang agenda politik ke dalam kampus atau universiti bagi menjaga keharmonian gedung ilmu itu.
“Kita tidak mahu wujudnya budaya berpuak-puak di kampus akibat perbezaan fahaman politik kerana ia boleh menyebabkan suasana menjadi tidak sihat kepada mahasiswa,” katanya.
Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Datuk Dr. Zaini Ujang berkata, mahasiswa harus melihat politik yang mereka dokong daripada perspektif ilmu iaitu melalui perkongsian bersama sarjana dan warga kampus yang sentiasa menghayati dan memahami resam idealisme politik.
“Mahasiswa seharusnya menggunakan kuasa ilmu yang dimiliki dengan mempelajari dan memahami perkembangan politik dalam dan luar negara secara saksama.
“Dengan demikian, mahasiswa tidak terikat kepada mana-mana idealisme atau syarat keahlian politik kepartian ketika berada di kampus, maka mereka akan mempunyai ruang dan kesempatan untuk membina idealisme sendiri,” katanya. - Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment