My Add

Wednesday 2 November 2011

FELDA timbang tawaran buka ladang di Kemboja

Isa Samad
RABU, 02 November, 2011: Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) yang kini mempunyai dua ladang di Indonesia, sedang mempertimbang tawaran membuka ladang di Kemboja.

Menurut Bernama, Pengerusinya, Tan Sri Isa Samad, memberitahu, pihaknya sedang dalam perbincangan dengan pihak berkenaan di Kemboja selepas mendapat tawaran untuk membuka ladang seluas 400,000 ekar di negara itu.

Beliau berkata, FELDA sudah diberikan dokumen dan butir yang diperlukan dan selain kajian yang dilakukan organisasi Malaysia, untuk dipertimbangkan.

"Saya percaya kita akan melihat tawaran itu (kerana) ia satu peluang yang baik," katanya. 

Di samping itu, beliau berkata Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen yang melawat Malaysia dulu, juga sudah memaklumkan cadangan supaya FELDA membuka ladang di negara itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. 

Katanya, FELDA akan melihat kesesuaian tanaman yang boleh diusahakan, iaitu sama ada sawit atau tanaman lain. 

Satu daripada ladang FELDA di Indonesia diusahakan secara bersama dengan Lembaga Tabung Haji manakala satu lagi diusahakan dengan syarikat tempatan. 
Selain itu, beliau berkata FELDA juga sedang berusaha untuk meningkatkan jualan produk keluarannya ke seluruh dunia. 

"Sebagai contoh, kita sudah mempunyai kilang di Turki bagi menembusi pasaran negara Eropah Timur," katanya, sambil menyatakan FELDA juga sedang melakukan usaha yang sama di Afrika bagi membuka pasaran di benua itu. 

Bagaimanapun, beliau tidak menjelaskan lebih lanjut usaha itu. 

Katanya, ini bagi menambah bilangan pasaran produk keluarannya yang kini menembusi pasaran 13 negara di seluruh dunia. 

Secara keseluruhannya, beliau berkata FELDA mencatatkan jualan kira-kira RM16 bilion setahun melalui pengeksportan kira-kira 3.0 juta tan metrik minyak sawit ke seluruh dunia. 

Sehubungan itu, katanya, pencapaian itu menolak tohmahan sesetengah pihak di Malaysia yang mendakwa organisasi itu kini sudah muflis. 

Isa berada di Yangon, Myanmar bagi menghadiri pameran produk keluaran FELDA selama dua hari, bermula hari ini. 

No comments:

Post a Comment