My Add

Wednesday 2 November 2011

Kerajaan belanja RM12.2 bilion untuk kesihatan rakyat

RABU, 02 November, 2011: Kerajaan telah menanggung sebanyak RM12.2 bilion memberi penjagaan kesihatan dan rawatan perubatan kepada penduduk di negara ini dari Januari hingga September tahun ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, jumlah itu merupakan 98 peratus daripada kesuluruhan perbelanjaan kementerian dalam tempoh tersebut yang sebanyak RM12.44 bilion, lapor Bernama.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Datuk Mohamed Aziz (BN-Sri Gading) yang meminta Tiong Lai menyatakan jumlah subsidi yang ditanggung kerajaan dalam memberi rawatan dan ubat percuma kepada rakyat sejak tahun lepas hingga tahun ini, pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Tiong Lai berkata, pada tahun 2010, kerajaan telah membelanjakan RM14.45 bilion atau 98 peratus daripada RM14.76 bilion peruntukan tahun itu untuk kemudahan perubatan dan kesihatan.

Katanya, pendapatan yang dikutip oleh kementerian pada 2010 ialah RM311.2 juta dan sehingga September tahun ini, sebanyak RM238.5 juta.

Selain itu, beliau berkata, sehingga September tahun ini kerajaan juga memberikan bantuan lebih RM58 juta kepada pesakit yang menerima rawatan di Institut Jantung Negara dan Pusat Hemodialisis swasta melalui Tabung Bantuan Perubatan.

Pada tahun lepas sebanyak RM57 juta diberikan melalui tabung itu.

Mengenai pelaksanaan bil terperinci, katanya, sistem yang digunakan oleh sembilan hospital sejak ia dilaksanakan Jun lepas, akan diperluaskan ke semua hospital kerajaan tahun depan.

Katanya, melalui bil yang menunjukkan kos sebenar sesuatu rawatan itu, rakyat akan lebih memahami jumlah subsidi yang telah ditanggung kerajaan dalam setiap rawatan. 

No comments:

Post a Comment