KUALA LUMPUR, SABTU, 26 November, 2011:
PEGANGAN ekuiti korporat secara relatifnya tidak banyak berubah dalam tempoh 1990 dan 2008 dengan bumiputera memiliki 19.3 peratus pegangan ekuiti korporat pada 1990, demikian menurut Peneraju Agenda Bumiputera atau Teraju.
“Pemilikan bumiputera dalam saham modal pada nilai tara berada pada 21.9 peratus pada 2008 adalah masih rendah daripada sasaran 30 peratus,” katanya dalam dokumen Hala Tuju Transformasi Ekonomi Bumiputera yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.
Menurut Teraju, pemilikan ekuiti korporat bumiputera lebih tinggi dalam sektor yang mempunyai sumbangan kecil kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
"Contohnya, pemilikan ekuiti korporat bumiputera paling tinggi dalam sektor pembinaan iaitu 36.4 peratus tetapi sumbangan sektor ini kepada KDNK hanya 3.3 peratus.
"Sebaliknya, pemilikan ekuiti bumiputera dalam sektor pembuatan hanyalah 11.3 peratus berbanding sumbangan sektor ini kepada KDNK sebanyak 26.6 peratus,” katanya.
Teraju, sekretariat kepada Majlis Tindakan Agenda Bumiputera (MTAB), menyatakan majoriti syarikat bumiputera adalah kecil dengan 65 peratus daripadanya menjana keuntungan kurang daripada RM250,000 setahun. – BERNAMA
No comments:
Post a Comment