KHAMIS, 03 November, 2011: Dewan Pemuda Pas sekali lagi bertegas dalam isu moral apabila sayap parti Pas itu bangun menentang penganjuran program Seksualiti Merdeka 2011 kerana ia jelas bertentangan dengan syariat, adab susila dan fitrah manusia.
Selain itu Ketuanya, Nasrudin Hassan ketika dihubungi Utusan Malaysia berkata, program itu juga berlawanan dengan akhlak Islam.
Nasrudin di dalam ruangan facebooknya yang kemudian dihubungkan kepada Harakahdaily mahu penganjur dan penyokong program tersebut agar tidak meneruskan perjuangan dan kempen mereka itu.
‘‘Pihak terbabit harus sedar bahawa gaya hidup seperti itu akan berhadapan dengan kemurkaan Allah SWT serta membuka pintu kepincangan sosial dan budaya di negara ini,’’ katanya di http://www.facebook.com/pages/Nasrudin-Hassan/, hari ini.
Beliau mengulas penganjuran Seksualiti Merdeka 2011 dengan temanya Queer Without Fear yang berlangsung semalam hingga 13 Nov 2011 di The Annaxe Gallery.
Nasrudin berkata, Islam mempunyai pandangan sendiri dalam isu hubungan sejenis dan Dewan Pemuda akan berpegang teguh dengan ketetapan yang telah ditentukan.
Islam katanya adalah agama fitrah sementara fitrah manusia ialah hidup berpasang-pasangan lelaki dan perempuan.
‘‘Perkahwinan yang sah di sisi Islam hanyalah perkahwinan yang melibatkan lelaki dengan pasangannya perempuan yang bukan mahramnya,’’ ujarnya.
Manakala beliau berkata, perkahwinan atau hubungan sesama jenis adalah suatu noda yang dilarang oleh Islam kerana ia jelas bertentangan dengan fitrah kejadian atau ciptaan manusia di atas muka bumi.
Dalam perkembangan sama kata Nasrudin sekilas pandang pihak terlibat sedang memperjuangkan hak dan kebebasan dengan gaya hidup pilihan mereka dalam sebuah negara demokrasi seperti Malaysia.
‘‘Oleh itu mereka tidak lagi teragak-agak untuk mengiklan, memperjuang dan menganjurkan programnya secara terbuka.
‘‘Sungguhpun begitu Islam mempunyai pandangannya yang tersendiri berhubung perkara ini dan kami akan berpegang teguh dengan syariat yang telah ditetapkan,’’ katanya.
No comments:
Post a Comment