My Add

Thursday, 3 November 2011

Seksualiti Merdeka: Perkasa desak Ambiga didakwa

Irwan Fahmi Ideris (baju hitam) menyerahkan memorandum bantahan terhadap Program Seksualiti Merdeka 2011 di pekarangan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur semalam.



KHAMIS, 03 November, 2011: Jika benar laporan media, Datuk S, Ambiga menyokong program Seksuali Merdeka 2011, nyata terserlah sikapnya yang keterlaluan sesudah terbabit dalam himpunan Bersih 02, 9 Julai lalu.  

Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mendakwa sikap Ambiga semakin melampau apabila meyokong progam tersebut dan mendesak pihak berkuasa khususnya Jabatan Peguam Negara supaya mengambil tindakan sewajarnya.

Pemuda Pas jug menentang keras penganjuran program tersebut. 

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor menyifatkannya sebagai satu contoh gelombang terbaru yang perlu dihadapi masyarakat khususnya orang Melayu di negara ini.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali mendakwa program yang bermula semalam hingga 13 November ini cuba mempromosikan budaya ‘binatang’ di kalangan rakyat.

Tokoh Kristian Sabah, Webley Disim berkata, ia satu kerja gila dan jelas bertentangan dengan kepercayaan semua agama di seluruh dunia yang tidak menghalalkan hubungan sejenis.

Program tersebut dilancarkan secara rasmi oleh Ambiga malam tadi
         Ibrahim Ali
Ketua Wira Perkasa, Irwan Fahmi Ideris berkata, Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Datuk S. Ambiga  perlu dikenakan tindakan tegas kerana telah melakukan banyak perkara yang boleh memecah-belahkan perpaduan dan mengugat ketenteraman awam.

"Pihak Peguam Negara perlu mendakwa Ambiga jika Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah selesai membuat siasatan. Sudah lebih 100 hari dia terlibat menganjurkan perhimpunan haram Bersih, Ambiga masih lagi bebas.

"Ambiga cuba membangkitkan kemarahan orang ramai khususnya kaum Melayu.

"Tindakan Ambiga ini sudah melampau apabila menyokong pula hubungan sejenis dan seks bebas yang jelas bertentangan dengan agama Islam yang termaktub dalam Perlembagaan Negara sebagai agama rasmi Persekutuan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sebelum menyerahkan memorandum bantahan terhadap program anjuran kira-kira 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu kepada Ketua Polis Negara (KPN) di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di Kuala Lumpur, semalam.

Memorandum itu diterima oleh Penolong Ketua Urus Setia KPN (Perhubungan Awam), Asisten Komisioner Ramli Mohamed Yoosuf yang mewakili Tan Sri Ismail Omar.


Program Seksualiti Merdeka 2011 yang bermula semalam hingga 13 November ini akan dirasmikan oleh Ambiga malam ini.

Ia dipromosikan melalui laman web www.seksualitimerdeka.org yang kononnya bertujuan mempertahankan hak golongan homoseksual agar boleh diterima dalam kalangan masyarakat negara ini.

Antara penaja dan penyokong program yang berlangsung selama 13 hari ini ialah Majlis Peguam dan Suara Rakyat Malaysia (Suaram) dengan beberapa aktiviti seperti bengkel, perbincangan, filem, pameran dan persembahan.

Menurut Irwan Fahmi, memorandum bantahan diserahkan hari ini meminta PDRM dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil tindakan tegas dengan membatalkan semua permit yang telah dan sedang diproses bagi menghalang aktiviti program itu.

"Dengan membenarkan program ini berlangsung, secara tidak langsung Malaysia telah bersedia menerima golongan rakyat yang berfikiran bahawa hubungan sejenis adalah hak asasi mereka, sedangkan perbuatan seks luar tabii adalah dilarang bukan sahaja oleh agama Islam, malah agama-agama lain di negara ini," ujarnya.

Ramli ketika ditemui memberitahu, beliau akan menyerahkan memorandum tersebut kepada KPN untuk menentukan tindakan lanjut yang akan diambil.


Program yang disokong oleh segelintir pihak, kononnya memperjuangkan hak asasi manusia adalah salah satu contoh gelombang terbaru yang perlu dihadapi masyarakat khususnya orang Melayu di negara ini.
Abdul Rahim Noor

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor mengingatkan orang Melayu agar tidak terpengaruh dengan budaya Barat itu yang cuba dibawa oleh pihak tertentu.

“Golongan yang cuba membawa pengaruh ini menjadikan hak asasi manusia sebagai modal mereka, sedangkan kita semua sedia maklum, program itu cuba dieksploitasi oleh kumpulan yang mempunyai agenda politik.

“Sebagai rakyat Asia, kita kena sedar, kita berada di rantau Asia dan mengamalkan budaya Asia. Jangan samakan budaya Barat dengan budaya kita (Asia) kerana di Barat, mereka boleh berjalan tanpa memakai pakaian kerana itu bagi mereka hak asasi,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Pelbagai pihak mengecam program tersebut, yang antara lain dilihat cuba menghalalkan hubungan sejenis.

Abdul Rahim berkata, sebagai rakyat yang hidup berlandaskan undang-undang, masyarakat perlu mematuhi peraturan sedia ada dan tidak mengamalkan perkara yang bertentangan dengan undang-undang negara.

“Kita ada undang-undang kita sendiri, berdasarkan kepada sejarah hidup kita. Kita berpijak di bumi Malaysia, jadi langit Malaysia perlu kita junjung.

“Kalau di Malaysia menetapkan beberapa perkara tidak boleh, maka janganlah kita ikut atau laksanakan,” katanya.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali hari ini menyifatkan program Seksualiti Merdeka 2011 yang bermula semalam hingga 13 November ini cuba mempromosikan budaya ‘binatang’ di kalangan rakyat.

Ini kerana tegasnya, matlamat program itu yang menghalalkan hubungan sejenis bukan sahaja haram di sisi Islam, malah ditolak oleh agama lain yang dianuti rakyat negara ini.

“Adalah jelas program ini cuba melaksanakan agenda asing atas nama hak asasi manusia dan demokrasi untuk mempengaruhi akhlak generasi muda dan rakyat Malaysia secara keseluruhannya,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2012 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat semalam.

Ibrahim menambah, kerajaan serta pertubuhan berkaitan agama perlu bertindak dan memberi teguran kepada NGO yang menyokong program itu kerana ia jelas melanggar Perlembagaan Negara.

Katanya lagi, NGO terbabit juga tidak sepatutnya melayani tuntutan program itu, walaupun atas nama hak asasi manusia kerana adalah jelas matlamatnya tidak munasabah dan bertentangan dengan prinsip moral serta agama.

“Tindakan tegas ke atas pihak yang berada di belakang program ini perlu diambil kerana ia melanggar Perlembagaan dan mengganggu-gugat kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi negara ini,” katanya.

Wartawan Utusan Malaysia, Hishamuddin Ayub. melaporkan dari Kota Kinabaku menyebut penganjuran program itu dianggap bukan sahaja dikecam hebat oleh umat Islam, tetapi agama lain termasuk Kristian.

Tokoh Kristian Sabah, Webley Disim berkata, ia satu kerja gila dan jelas bertentangan dengan kepercayaan semua agama di seluruh dunia yang tidak menghalalkan hubungan sejenis.

Katanya, pendekatan yang cuba dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab itu perlu ditentang sekeras-kerasnya supaya ia tidak merosakkan akhlak semua lapisan masyarakat, terutama golongan belia yang mudah terpengaruh.

Menurut beliau, setiap agama mempunyai kitab suci masing-masing yang memerintahkan untuk berlaku baik dan tidak membenarkan mereka melakukan perkara yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada diri sendiri dan masyarakat.

“Amat jelas, menghalalkan perkara yang tidak dibenarkan oleh agama seperti hubungan sejenis adalah satu perkara biadab dan ia jelas sekali bertentangan dengan norma kehidupan.

“Saya menentang keras tindakan terkutuk itu dengan menganjurkan program yang jelas terpesong dan merosakkan akhlak setiap penganut yang mempercayai kitab ajaran agama masing-masing. Ini sangat melampau,” katanya yang dihubungi di sini hari ini.

Utusan Malaysia semalam, melaporkan kira-kira 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu cuba mempromosikan program Seksualiti Merdeka 2011 yang 1 hingga 13 November depan.

Antara penaja dan penyokong program yang berlangsung selama 13 hari itu ialah Majlis Peguam dan Suara Rakyat Malaysia (Suaram) dengan beberapa aktiviti diatur seperti bengkel, perbincangan, filem, pameran dan persembahan.

Mengulas lanjut, Disim berkata, sekiranya sesuatu program yang dianjurkan bertentangan dengan ajaran di dalam kitab suci, maka ia perlu ditolak dan diketepikan demi memastikan ia tidak mengkucar-kacirkan kehidupan.

Selain itu, katanya, penganjuran program Seksualiti Merdeka 2011 jelas mengaibkan bangsa Malaysia yang terkenal dengan tatasusila dan kesopanan dalam kehidupan seharian.

“Ia benar-benar memalukan saya sendiri sebagai bangsa Malaysia yang menitik beratkan nilai dan etika kehidupan normal. Sekali lagi saya tegaskan, saya menentang keras program seumpama itu.

“Malah saya berharap kerajaan membendung gejala tidak sihat ini dengan kadar segera dan dapat mengambil tindakan tegas kepada pihak yang cuba menganjurkan program seumpama itu,” katanya.

No comments:

Post a Comment