My Add

Saturday 26 November 2011

Syarikat besar bumiputera diharap bantu lahir ramai vendor

KUALA LUMPUR, SABTU, 26 November, 2011: 
KERAJAAN akan mewujudkan ekosistem ekonomi bumiputera yang lebih meluas yang akan melihat penglibatan syarikat bumiputera berskala besar membantu dalam membangunkan lebih banyak vendor bumiputera, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

Katanya, dengan wujudnya ekosistem ini, ia akan dapat meningkatkan lebih banyak penyertaan syarikat bumiputera lain.

Najib, yang juga Menteri Kewangan berkata, salah satu perkara utama yang ditekankan ialah apabila kontrak-kontrak diberikan kepada syarikat-syarikat bumiputera, mereka hendaklah diberikan margin yang munasabah supaya apabila mereka mendapat kontrak-kontrak ini, ia akan dapat memberikan kesan dan manfaat kepada syarikat-syarikat bumiputera lain.

"Saya nak ingatkan kepada badan-badan korporat yang besar, sama ada milik kerajaan atau swasta, jangan lepaskan batuk di tangga dalam hal ini,” katanya ketika berucap di Majlis Pelancaran Hala Tuju Transformasi Ekonomi Bumiputera di sini hari ini.

Sehubungan dengan ini, Najib mengumumkan penubuhan satu unit bumiputera di bawah MRT Corporation yang merupakan pemilik projek dan sebuah syarikat di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan.

Katanya, unit ini dengan kerjasama Teraju akan menguruskan proses pemilihan, pengagihan dan pembangunan keupayaan bumiputera dalam projek myMRT. – BERNAMA

No comments:

Post a Comment