My Add

Saturday 26 November 2011

Teksi Wanita mula beroperasi di Lembah Klang

KUALA LUMPUR, SABTU, 26 November, 2011: 
KEGELISAHAN penumpang teksi wanita berhubung keselamatan mereka kini berakhir dengan pelancaran projek 'Teksi Wanita'.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Heng Seai Kei berkata fasa perintis projek itu, dengan kerjasama ABEX Manufacturing Sdn Bhd, akan menyasarkan 400 teksi beroperasi secara 'on-call' di sekitar Lembah Klang
secara berperingkat. 

"Setakat ini, kami telah ada 50 pemandu teksi wanita dan kita menggalakkan 
mereka yang berminat untuk menceburi bidang ini, terutama suri rumah, ibu 
tunggal dan pesara," katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Hari 
Antarabangsa Menangani Keganasan Terhadap Wanita di Terminal Bersepadu Selatan di sini hari ini. 

Beliau berkata teksi itu akan dipandu oleh wanita dan bersedia memberi perkhidmatan kepada penumpang wanita yang bersendirian atau membawa anak agar 
mereka dapat menjalankan urusan harian dengan selesa serta lancar. 

"Sehingga kini, terdapat tiga buah syarikat iaitu Destination Transport, 
Zalnas Sdn Bhd serta Koperasi Pengangkutan Putrajaya dan Cyberjaya yang boleh 
dihubungi bagi mendapatkan perkhidmatan tersebut," katanya. 

Heng juga meminta golongan wanita yang berminat membawa teksi menghubungi 
ABEX untuk keterangan lanjut dan latihan serta kursus akan diberikan. 

"Projek ini juga secara tidak langsung mewujudkan peluang pekerjaan kepada 
golongan wanita bagi meningkatkan taraf hidup isi rumah yang berpendapatan 
rendah," katanya. 

Beliau berkata penumpang boleh mengenal pasti teksi tersebut dengan stiker 
khas iaitu TeksiWanita yang dilekatkan pada kenderaan. 
"Penumpang juga boleh menghubungi talian 03-80240507, 03-26926000 dan 
03-88884020 untuk mendapatkan pemandu wanita," katanya. 

Dalam perkembangan lain, Heng berkata dianggarkan seramai 10 wanita menjadi 
mangsa pelbagai bentuk keganasan setiap hari di Malaysia manakala 60 peratus 
yang terselamat dalam kes itu mengalami depresi teruk sehingga cenderung untuk 
membunuh diri. 

"Ini membuktikan bahawa masih wujud di zaman ini kelompok manusia yang 
melakukan kezaliman dan penindasan terhadap wanita bagi membuktikan kekuatan dan kekuasaan mereka," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment