My Add

Saturday 26 November 2011

Wasatiyah sesuai pada masyarakst majmuk kekal keamanan

KUALA LUMPUR, SABTU, 26 November, 2011:
PENDEKATAN Wasatiyah atau kesederhanaan bersesuaian dengan komposisi masyarakat majmuk di negara ini demi mengekalkan keamanan dan keharmonian yang dikecapi, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata keamanan dan keharmonian yang dikecapi ketika ini merupakan
hasil sikap sederhana rakyat Malaysia yang tidak mengamalkan budaya hidup melampau dan melanggar undang-undang.

"Pendekatan Wasatiyah boleh mendidik kita berfikir dan bertindak secara
bijaksana dan berkesan. Tidak melampau atau ekstrem, tidak jumud dan tidak juga 
terlalu liberal selain tidak terlalu fanatik dan taksub kepada sesuatu pendapat 
individu dan kelompok tanpa mengambil kira fakta dan ilmu," katanya merasmikan 
Seminar Kebangsaan Pemahaman Wasatiyah dan 1Malaysia di sini hari ini. 

Kepentingan konsep Wasatiyah yang menekankan amalan kesederhanaan dalam 
menjayakan keamanan dan kesejahteraan turut dibangkitkan Perdana Menteri 
Datuk Seri Najib Tun Razak ketika berucap di Hawaii pada 14 November lepas, yang menyatakan bagaimana kejayaan model Malaysia yang berasaskan pengamalan 
kesederhanaan di kalangan rakyat berbilang kaum, bahasa dan agama. 

Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno berkata sikap fanatik dan taksub 
akan menyebabkan seseorang itu menutup fikiran mereka daripada menerima sebarang

maklumat daripada pihak yang tidak mereka senangi. 
Beliau berkata golongan yang melampau juga akan memperlihatkan sifat 
berprasangka buruk kepada pihak lain, memandang serong dengan pandangan sinis, 
menyembunyikan kebaikan dan pada masa yang sama memperbesarkan kesilapan orang lain. \

"Pendekatan Wasatiyah yang ingin kita jayakan mempunyai ciri-ciri unggul, 
merupakan pendekatan pembangunan manusia, masyarakat dan negara yang bersifat 
menyeluruh berasaskan ajaran Islam yang diamalkan secara sederhana serta 
berimbang," katanya.

Beliau berkata gagasan 1Malaysia yang membawa nilai-nilai aspirasi seperti 
budaya berprestasi tinggi, ketepatan, budaya ilmu, integriti, ketabahan, 
kesetiaan, kebijaksanaan dan budaya inovasi turut diterap dan dibudayakan dengan 
konsep kesederhanaan.

Muhyiddin berkata matlamat akhir pendekatan Wasatiyah masih tidak lari 
daripada usaha mempertingkatkan kualiti hidup ummah, sama ada daripada segi 
penguasaan ilmu pengetahuan, pembangunan insan, sistem ekonomi dan kewangan, 
perpaduan, pertahanan, kenegaraan dan sebagainya.

Mengenai seminar yang diadakan sempena Perhimpunan Agung Umno 2011 yang 
membuka tirainya Selasa depan, Muhyiddin berharap ia dapat menyemarakkan lagi 
konsep Wasatiyah, satu pendekatan yang sangat dituntut dalam Islam, agar dapat 
dipraktikkan dalam segenap sudut kehidupan.

"Apa yang penting ialah penghayatan konsep Wasatiyah perlu disuburkan 
sebagai pedoman utama pelaksanaan Gagasan 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, 
Pencapaian Diutamakan. Inilah falsafah dan formula yang merealisasikan aspirasi 
negara dalam mencapai Wawasan 2020," katanya.

Seminar yang menampilkan bekas Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia 
(IKIM) Datuk Dr Syed Ali Tawfiq Al-Attas dan Profesor Pengajian Global, 
Universiti Sains Malaysia Dr Chandra Muzaffar bertujuan menghurai pendekatan 
Wasatiyah dan gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri.

Ia juga bermatlamat mencari metodologi terbaik bagi menerapkan kedua-dua 
pendekatan itu sebagai amalam harian, dan menggarap maklum balas untuk 
menambahbaik pelaksanaannya bagi melahirkan umat yang terbaik.

Kira-kira 1,200 peserta daripada kalangan pelajar, badan bukan kerajaan, 
ahli akademik dan individu hadir pada seminar hari ini. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment