My Add

Saturday 26 November 2011

Tingkatkan nilai aset milik bumiputera jadi sasaran utama

KUALA LUMPUR. SABTU, 26 November, 2011:
USAHA meningkatkan penciptaan kekayaan bumiputera, yang merupakan objektif utama dalam Hala Tuju Transformasi Ekonomi Bumiputera akan tercapai menerusi peningkatan nilai aset milik Bumiputera, kata Peneraju Agenda Bumiputera atau Teraju.

“Nilai aset milik bumiputera seperti unit amanah, dana zakat dan tanah wakaf boleh dipertingkatkan melalui pengumpulan dan pengurusan yang lebih berkesan oleh institusi pelaburan bumiputera,” katanya dalam dokumen “Transformasi Ekonomi Bumiputera: Satu Hala Tuju” yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

Menurut Teraju, terdapat asas kekayaan bumiputera yang kukuh, hasil dari usaha yang telah dilaksanakan menerusi penggemblengan dan pengurusan aset bumiputera oleh beberapa institusi kerajaan.

Merujuk kepada data Unit Perancang Ekonomi (EPU), Teraju berkata, aset kewangan lebih daripada RM120 bilion telah dikumpulkan melalui institusi pelaburan bumiputera seperti Permodalan Nasional Bhd (PNB) dan Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji).

“Aset ini telah menunjukkan pertumbuhan ketara,” katanya, sambil menyatakan bahawa dana PNB terus meningkat daripada sekitar RM30 bilion pada 1999 kepada sekitar RM150 bilion pada awal 2010, yang merupakan 15 peratus daripada modal pasaran keseluruhan.

Mengenai pemilikan hartanah Bumiputera, Teraju yang merupakan sekretariat kepada Majlis Tindakan Agenda Bumiputera (MTAB), berkata, ia sebanyak 24 peratus berdasarkan maklumat pinjaman hartanah yang dilaporkan kepada Bank Negara. – BERNAMA

No comments:

Post a Comment