My Add

Thursday 24 November 2011

Undang-undang Perhimpunan Aman perlu elak demonstrasi

BANDAR BAHARU, KHAMIS, 24 November,2011: 
RANG Undang-undang Perhimpunan Aman 2011 yang dibentangkan di Dewan Rakyat dua hari lepas perlu mendapat sokongan daripada semua Ahli Parlimen kerana ia akan mengelak berlakunya demonstrasi jalanan, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, langkah kerajaan memperkenalkan undang-undang itu menunjukkan kesediaan pimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk memberi ruang lebih luas kepada rakyat untuk menyuarakan pendapat tanpa ada sekatan dan halangan tetapi dalam keadaan terkawal.

"Ini sepatut dilihat sebagai perkembangan proses transformasi politik yang lebih besar,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Jamuan Rakyat 1Malaysia dan penyerahan secara simbolik wang RM100 kepada sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan Tamil dan sekolah agama di Dataran Serdang di sini hari ini.

Katanya, jika pembangkang tidak menyokong dan tidak berpuas hati dengan undang-undang baru itu, ia mungkin diandaikan mereka melihat ia sebagai sekatan dan halangan untuk mereka.

"Ada perlakuan mereka tidak disenangi rakyat seperti demonstrasi jalanan. Dengan rang undang-undang baru ini, demonstrasi jalanan tidak dibenarkan. Kalau nak suarakan, (mestilah) ikut peraturan... ini sudah disediakan ruang lebih luas untuk rakyat suarakan pandangan,” katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment