My Add

Sunday, 1 January 2012

1Malaysia melalui 'sentuhan rakyat'

RAIS Yatim, Maznah Rais dan Kamaruddin Siaraf (kanan) melakukan senamrobik pada Karnival Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan 2012 di Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR, AHAD, 01 Januari, 2012: Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan akan mempromosikan gagasan 1Malaysia melalui pendekatan yang bersifat lebih mesra rakyat pada 2012.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, harapan baru kementerian itu ialah untuk menjayakan gagasan tersebut secara amali dan bukan lagi secara teori.

"Ini bermakna kementerian perlu membuat sentuhan rakyat di kampung-kampung menerusi gotong-royong, memberi bantuan kepada fakir miskin serta ibu-ibu yang memerlukan pembelaan.

"Seterusnya kementerian menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) juga perlu memberi perhatian kepada pelajar cergas untuk dibantu dari segi pengkomputeran," katanya ketika ditemui selepas merasmikan karnival Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan 2012, di sini semalam.

Turut hadir, isteri Rais, Datin Seri Maznah Rais dan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Kamaruddin Siaraf.

Sehubungan itu, menurut Rais, beliau menyeru semua warga kementerian untuk terus berjuang dan memberi sumbangan yang lebih komited.

Selain itu, katanya, kementerian tersebut akan menjana dasar-dasar transformasi anjuran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak agar dapat diterima rakyat, menjelang dan semasa Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

Pada karnival tersebut, lebih 3,000 warga Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan daripada 18 buah agensi hadir memeriahkannya bermula seawal 7 pagi.

Terdahulu, Rais dan isteri turut menyertai peserta lain melakukan senam tari selama kira-kira 30 minit. - MM

No comments:

Post a Comment