ABDUL Azeez Abdul Rahim (kiri) menyuapkan kuih kepada Om Taib sambil diperhatikan cucunya, Hamdan Ramli di Kampung Tok Weng, Baling, kelmarin BALING, AHAD, 01 Januari, 2012: Sejak lima tahun lalu, Om Taib, 105, tidak pernah keluar rumah dan hanya mengesot untuk bergerak dalam kediamannya di Kampung Tok weng, Pulai yang dihuni bersama anaknya, Telasiah Lat, 74, dan beberapa cucu. |
Semalam, Om yang memiliki enam anak dan berbelas cucu mendapat hadiah istimewa sebuah kerusi roda yang membolehkan dia bergerak ke sekitar kampung berkenaan.
"Akhirnya saya saya dapat juga bertemu kawan-kawan sekampung yang sudah lama tidak berjumpa," katanya di sini, semalam.
Om merupakan penduduk tertua di kampung berkenaan menerima sumbangan sebuah kerusi roda yang diberikan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Baling yang disampaikan oleh Penyelaras Parlimen Baling, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim.
Om yang dibawa cucunya, Hamdan Ramli, 40, tersenyum puas semasa menghadiri satu majlis kenduri yang terletak tidak jauh dari rumahnya.
Sementara itu, Abdul Azeez berkata, wakil pejabatnya melawat rumah warga emas itu dua hari lalu dan hasil tinjauan mendapati wanita itu layak mendapat bantuan berkenaan.
Abdul Azeez turut menyerahkan tiga lagi kerusi roda kepada penduduk kampung berkenaan yang sakit antaranya ialah Nasir Abdullah, 57, yang menghidap sakit misteri.
Katanya, Nasir akan dihantar ke Hospital Sungai Buloh Isnin ini untuk mendapatkan rawatan lanjut dari doktor pakar.
"Kami akan menghantar Nasir untuk menjalani rawatan lanjut di hospital berkenaan mulai Isnin depan," katanya. - MM
No comments:
Post a Comment