My Add

Sunday, 1 January 2012

Imam Mahadi: Badrul Amin digesa balik tarik kenyataan

Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL
KUALA LUMPUR, AHAD, 01 Januari, 2012: Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabak Bernam, Selangor, Badrul Amin Baharon digesa menarik balik kenyataannya yang seolah-olah mengaitkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Imam Mahdi.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja, Himpunan Ulama Muda Malaysia (Ilmu), Fathul Bari Mat Jahaya berkata, Badrul Amin juga perlu mengakui kesilapan itu dan memohon maaf sekali gus merungkai salah faham yang timbul ekoran kenyataan tersebut.

"Apa yang disebut oleh Badrul Amin itu adalah tidak wajar kerana ia menimbulkan salah faham yang sangat besar dalam kalangan umat Islam.

"Badrul Amin juga perlu sedar bahawa isu ini tidak ada kena mengena dengan politik atau percubaan menyerang beliau dan Anwar, sebaliknya lebih kepada menjaga kesucian Islam," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini, semalam.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi terhadap kenyataan Badrul Amin yang seolah-olah mengaitkan Anwar sebagai Imam Mahdi apabila merujuk Anwar sebagai pemimpin yang mampu menyatukan umat Islam atau paling tidak menyatukan dunia Arab.

Badrul Amin membuat kenyataan itu dalam satu ceramah dan video ceramah tersebut yang dimuat naik ke Internet pada 26 Disember lalu.

Antara lain, Badrul Amin dalam ceramah itu berkata:

"Kita hanya perlukan satu lagi syarat untuk bebaskan al-Aqsa.

"Perlu ada seorang pemimpin yang mampu menyatukan umat Islam, paling tidak menyatukan dunia Arab.

"Sudah adakah pemimpin itu tuan-tuan? Tanya saya, saya kata dia sudah ada… Pemimpin itu sedang disiapkan. Dia sedang diuji.

"Insya-Allah kalau lepas ujian ini dia akan bangkit memimpin umat. Dan waktu itu, insya-Allah kita akan meraikan pembebasan al-Aqsa, pemimpin itu sekarang ini menjadi penasihat kepada beberapa negara Arab.

"Saya kata, dia ada di Malaysia, tidak lain tidak bukan, saudara Anwar Ibrahim," katanya seperti yang dipetik menerusi video tersebut.

Bagaimanapun, Badrul Amin menerusi laman sosial Facebooknya menafikan menyamakan Anwar dengan Imam Mahdi sebaliknya mendakwa hanya menyebut potensi Anwar sebagai pemimpin dari Timur yang mampu menyatukan dunia Arab sekali gus membebaskan al-Aqsa.

Berhubung dakwaan Badrul Amin bahawa beliau tidak mengaitkan secara langsung Anwar dengan Imam Mahdi, Fathul Bari berkata, apa yang menjadi pertikaian dalam isu ini adalah hadis yang digunakan oleh Badrul Amin itu adalah khusus kepada Imam Mahdi.

"Perkaitan hadis itu yang menimbulkan masalah, kerana ia menimbulkan persepsi yang mana bagi golongan jahil yang mungkin tidak mampu membuat analisis dan penelitian, akan wujud salah faham di kalangan mereka," katanya. MM

No comments:

Post a Comment