My Add

Sunday 1 January 2012

Komuniti pelbagai kaum nyatakan sokongan Perkara 153

SEBAHAGIAN ahli perniagaan, pemimpin agama, dan golongan profesional hadir ke pejabat Utusan Malaysiadi Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur, semalam bagi memberi sokongan terhadap Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.


KUALA LUMPUR, AHAD, 01 Januari, 2012: Kira-kira 50 orang yang mewakili komuniti masyarakat berbeza hadir ke pejabat Utusan Malaysia di sini, semalam bagi menyatakan sokongan terhadap Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Mereka yang terdiri daripada ahli perniagaan, pemimpin agama, ibu bapa dan golongan profesional pelbagai kaum turut meminta seluruh rakyat Malaysia menerima Perkara 153 sebagai asas perpaduan yang membina negara ini sejak 54 tahun lalu.

Malah mereka turut mendesak supaya pembangkang berhenti mempertikaikan Perkara 153 semata-mata kerana kepentingan politik kerana ia dibimbangi boleh mengulangi tragedi berdarah 13 Mei 1969.

Mahaguru Persatuan Penganut Dewa Teoh Kong Seng Kuan, Alvin Wong, 53, berkata, Perkara 153 tidak pernah menghalangnya dan ahli-ahli persatuan itu untuk menganut agama yang dipercayai mereka.

Katanya, mereka juga bebas mengamalkan amalan agama itu serta cara hidup dan budaya masyarakat Cina meskipun hidup bersama dengan penganut agama lain termasuk Islam.

"Ini menunjukkan Perkara 153 langsung tidak menyekat atau menindas kami untuk meneruskan kehidupan dan dalam masa sama ia mendidik kami untuk menghormati hak-hak kaum lain," katanya.

Kumpulan itu terpanggil untuk menyatakan sokongan secara terbuka kepada Perkara 153 berikutan kelantangan beberapa pihak termasuk pembangkang yang cuba mempertikaikan peruntukan tersebut.

Terbaru, Perkara 153 dibangkitkan oleh Pengerusi Evangelical Christian Fellowship Nasional, Dr. Eu Hong Seng pada majlis minum petang di sebuah gereja di Subang Jaya Sabtu lalu kononnya ia lebih bersifat membuli jika ia hanya melindungi hak sesuatu kumpulan atau pihak.

Sementara itu, Presiden Persatuan Penjaja dan Perniagaan Kecil Bukit Bintang, James Leow, 36, pula berkata, Perkara 153 tidak pernah menghalang beliau untuk meneruskan perniagaan yang diusahakan sejak bertahun-tahun lamanya.

Malah katanya, beliau dan rakan-rakan peniaga dalam kalangan kaum Cina juga tidak pernah bimbang atau takut dengan Perkara 153 kerana peruntukan yang terkandung dalam Perlembagaan itu masih memberi ruang yang cukup luas kepadanya untuk mencari rezeki.

"Apa yang saya harapkan adalah supaya negara ini kekal aman dan tidak ada pihak yang cuba mencetuskan huru-hara seperti mengadakan demonstrasi jalanan kerana ia mengganggu perniagaan kami," katanya.

Bagi ahli Persatuan Penjaja-Penjaja Melayu Bukit Bintang, Mohamad Abd. Wahab, 42, pula, beliau terpanggil untuk turut serta menyatakan sokongan kepada Perlembagaan 153 kerana berasakan peruntukan itu bersifat adil kepada semua kaum.

Katanya, meskipun peruntukan itu melibatkan hak istimewa orang Melayu dan agama Islam, ia turut melindungi dan mengiktiraf hak serta kedudukan kaum dan agama lain.

"Buktinya kita dapat lihat hari ini tidak ada kaum-kaum selain Melayu dan bumiputera yang dinafikan hak mereka sama ada untuk mencari rezeki, mendapat pendidikan atau mengamalkan kepercayaan masing-masing," katanya.

Ketika ditanya mengapa komuniti ini memilih untuk menyatakan sokongan terhadap Perkara 153 menerusi akhbar Utusan Malaysia sedangkan akhbar ini sering dilihat rasis, mereka berpandangan ia merupakan signifikan kepada perjuangan akhbar ini yang turut menyokong peruntukan tersebut.

Malah, kata mereka, Utusan Malaysia juga dipilih bagi menunjukkan bahawa komuniti selain Melayu masih boleh hidup aman dan damai bersama-sama orang Melayu meskipun di sebalik adanya peruntukan Perkara 153. 

No comments:

Post a Comment