Oleh ASHLEY ANGGAT
MIRI, AHAD, 01 Januari, 2012: Hasrat empat bersaudara untuk menyambut tahun baru bersama keluarga di Long Lama, Baram tidak kesampaian apabila tiga daripada mereka meninggal dunia setelah terlibat dalam kemalangan, semalam.
Nahas berlaku berhampiran Simpang Niah di Jalan Pesisiran Pantai Miri/Bintulu pukul 12 tengah hari ini apabila kereta jenis Perodua Kenari yang dinaiki mereka dari arah Bintulu bertembung dengan sebuah lori muatan tiga tan.
Kesemua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian. Mereka ialah pemandu kereta, Wan Anyi Eng, 58; dan dua penumpang, Johnny Aba, 28, dan Stephen Malang, 20.
Seorang lagi penumpang kereta berkenaan, Dennis Ding, 28, yang berasal dari Long Bemang, Apoh Tutoh terselamat.
Dennis ketika ditemui di tempat kejadian berkata, dia tidak tahu bagaimana kemalangan itu berlaku kerana tertidur.
"Saya berada di tempat duduk sebelah bapa saudara saya, Wan Anyi. Saya tersedar dari tidur dan mendapati kereta yang kami naiki terbabas ke dalam parit selepas bertembung dengan sebuah lori.
"Saya hampir pengsan sebaik sahaja melihat kemalangan itu dan menggagahkan diri untuk keluar dari kereta," katanya yang tidak dapat menahan kesedihan berikutan kehilangan tiga ahli saudaranya.
Sementara itu, kelindan lori berkenaan yang mahu dikenali sebagai Lim, 50-an mendakwa, kereta Kenari berkenaan memasuki lorong bertentangan sebelum bertembung dengan lori yang dinaikinya.
Katanya, dia dan rakannya yang memandu lori itu bernasib baik kerana terselamat dan hanya mengalami kecederaan ringan.
Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Miri, Selamat Sulaiman ketika ditemui di tempat kejadian berkata, lima anggota berusaha mengeluarkan tiga mangsa yang tersepit dalam kemalangan itu. - MM
No comments:
Post a Comment