SEBAHAGIAN pengunjung yang mengunjungi ruang pameran pada Karnival Sayangi Selangor di i-City, Shah Alam, semalam. - MINGGUAN/AHMAD FADZLY ESA
Oleh AHMAD FADZLY ESA SHAH ALAM, AHAD, 01 Januari 2012: Pengunjung yang menghadiri Karnival Sayangi Selangor selama empat hari bermula Rabu lalu dan berakhir hari ini memuji langkah Kerajaan Barisan Nasional (BN) menganjurkan program yang memberi manfaat kepada seisi keluarga.
Mereka menyifatkan karnival tersebut merupakan satu medan yang amat berguna kepada rakyat khususnya dalam mendapatkan perkhidmatan daripada jabatan dan agensi kerajaan pusat selain mendekatkan hubungan di antara rakyat dan pemimpin di negeri itu.
Salah seorang pengunjung yang ditemui, Ahmad Bilal Kitang, 64, dari Telok Panglima Garang, Banting berkata, banyak ilmu pengetahuan yang boleh diperolehi daripada program yang dianjurkan sepanjang karnival berkenaan diadakan.
Jelasnya, selain mendapat maklumat menerusi pameran yang dianjurkan pelbagai agensi, rakyat turut mendapat peluang menyemak status kenderaan dan saman lalu-lintas mereka menerusi gerai Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Selain itu, program yang diadakan itu sedikit sebanyak dapat mengeratkan hubungan silaturahim seluruh lapisan rakyat di negeri ini,” katanya.
Pendapat yang sama turut dikongsi seorang pengunjung dari Sarawak, Nur Syazwanie Wakimin, 22, yang menyatakan program seperti itu sewajarnya dianjurkan setiap tahun oleh BN.
Penuntut jurusan Akademi Pengajian Bahasa Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu menyatakan, banyak aktiviti dan acara menarik dipersembahkan kepada pengunjung, merangkumi pelbagai lapisan umur dan masyarakat.
“Selain persembahan paraglider di ruang udara i-City semalam, salah satu acara yang begitu mendebarkan ialah apabila sekumpulan anggota tentera melakukan demonstrasi aksi akrobatik menaiki motosikal besar.
“Pengalaman melihat aksi itu bukan selalu kita dapat lihat. Banyak juga aktiviti lain yang bersifat kekeluargaan termasuklah melibatkan golongan muda dan saya harap ia dapat diteruskan lagi pada masa depan,” jelasnya.
Sementara itu, bagi pelancong dari Kuwait, Mohamad dan Manayen, 23, pengalaman bercuti dan berkunjung di Karnival Sayangi Selangor merupakan kenangan paling manis bagi mereka berdua melancong ke negara ini. - MM |
No comments:
Post a Comment