My Add

Sunday, 29 January 2012

19,000 dapat manfaat pinjaman rumah DBKL


KUALA LUMPUR 28 Jan. - Hampir 19,000 penyewa Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) sekitar ibu negara akan mendapat manfaat daripada skim pinjaman khas yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, berkata, pihaknya akan menjadi orang tengah dalam memudahkan urusan pinjaman berkenaan yang menggunakan dana pembiayaan daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Katanya, dalam memberi kefahaman kepada penyewa untuk membeli rumah yang kini disewa mereka, pihaknya akan melakukan sesi penerangan di seluruh PPR dan PA pada Mac ini.

“Melalui sesi penerangan tersebut, para penyewa yang berminat untuk membeli rumah akan mendapat gambaran jelas untuk membuat pinjaman melalui KWSP ini.

“Dengan pinjaman tersebut mereka tidak perlu risau, kerana segala urusan akan dipermudahkan tetapi dengan syarat apabila melakukan pinjaman mereka harus membayar balik selepas ini,” katanya selepas menyampaikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) di Taman Bullion disini hari ini.

Perdana Menteri semasa berucap merasmikan Sambutan Hari Wilayah Persekutuan di Dataran Merdeka hari ini berkata, kerajaan akan memperkenalkan skim pinjaman khas bagi membantu warga kota berpendapatan rendah membeli rumah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang disewa mereka.

Skim pinjaman dikenali Skim Pembiayaan Khas Penjualan Program Perumahan Rakyat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (PPR MTEN) dan Perumahan Awam DBKL itu akan beroperasi mulai 1 Mac ini. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment