My Add

Sunday 29 January 2012

Keluarga pemandu lori terima pampasan Perkeso

TEE Siew Kiong (dua dari kanan) menyampaikan cek Faedah Pengebumian kepada Nor Suhaida Wan Kassim di Kampung Parit Ibrahim, Pontian, Johor, baru-baru ini. Turut kelihatan Ismail Abi Hashim (dua dari kiri).

PONTIAN, AHAD, 29 Januari, 2012: Keluarga kepada dua pemandu lori yang maut dalam nahas di Terengganu pada 14 Januari lalu menerima pampasan berupa faedah pengebumian dan bayaran pencen daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) negeri.

Mereka ialah Nor Suhaida Wan Kassim, 35, isteri kepada Allahyarham Abdul Samad Sarpoo dan Ramsidah Ramli, 37, isteri kepada Allahyarham Mohd. Nor Musa yang maut apabila lori yang dipandu terbabas dan merempuh sebatang pokok di Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu.

Majlis penyampaian dilakukan Pengarah Perkeso Johor, Ismail Abi Hashim yang turut disaksikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Sebatang, Datuk Tee Siew Kiong di Kampung Parit Ibrahim, di sini baru-baru ini.

Siew Kiong turut menghulurkan angpau kepada anak-anak mangsa dan akan membantu mereka sekeluarga dalam membuat permohonan bantuan lain.

Bagi Nor Suhaida, dia masih terkejut dengan insiden yang berlaku dan bimbang memikirkan nasib diri dan keperluan membesarkan empat anaknya iaitu Mohd. Aidil, 12, Siti Nur Diyana, 10, Nurul Ain, 7, dan Nur Faisa Aiwa, 18 bulan

"Saya hanya memikirkan anak-anak untuk membesarkan mereka, selepas kami kehilangan tempat bergantung tetapi kami reda dengan ketentuan Ilahi. Mungkin ada hikmah di sebaliknya," katanya.

Bagi Ramsidah Ramli pula, bantuan yang dihulurkan Perkeso umpama talian hayat kepada dia dan empat anaknya selepas kematian suami.

"Saya bersyukur dan tidak menyangka rupanya masih ada lagi jabatan yang tampil menghulurkan bantuan untuk kami sekeluarga. Wang berkenaan amat membantu kami sekeluarga," katanya yang berasal dari Kampung Penerok, dekat sini. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment