KUALA LUMPUR, AHAD, 01 JanuRI, 2012: Sejumlah 43 bayi Tahun Baru 2012, terdiri daripada 25 lelaki dan 18 perempuan, dilahirkan di empat hospital kerajaan dan tiga hospital swasta di ibu negara hari ini.
Seramai 12 bayi lahir di Hospital Sungai Buloh, diikuti 11 di Hospital Ampang, 10 di Hospital Kuala Lumpur (HKL), empat di Hospital Kajang, tiga di Pusat Perubatan Sime Darby, dua di Prince Court Medical Centre (PCMC) dan seorang di Pantai Hospital Ampang.
Tiga daripada bayi itu lahir secara "caesarean" di HKL dan seorang di PCMC.
Hospital Sungai Buloh menyambut bayi pertama tahun baru perempuan seberat 2.19kg pada 12.25 tengah malam, kedua juga perempuan seberat 2.06kg pada 12.38 pagi dan bayi lelaki seberat 3.27kg pada 2.59 pagi.
Sementara HKL menerima bayi pertamanya seorang lelaki seberat 3.25kg pada 12.34 pagi, diikuti oleh bayi lelaki juga pada 1.46 pagi, seberat 2.55kg dan bayi perempuan seberat 2.76kg pada 2.59 pagi.
Di Kedah, seramai 47 bayi tahun baru selamat dilahirkan di lapan hospital kerajaan.
Timbalan Pengarah (Bahagian Perubatan) Jabatan Kesihatan Negeri Kedah, Dr Harif Fadzilah Che Hashim, berkata:
"Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar mencatatkan jumlah kelahiran tertinggi iaitu 17 orang, diikuti Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani 14 orang, dan Hospital Kulim 11 orang".
Beliau berkata, di daerah lain iaitu di Hospital Sik, Kuala Nerang, Jitra, Yan dan Langkawi masing-masing menerima kelahiran seorang bayi.
Sementara itu, di HSB, pasangan Muhamad Rizuwan Ahmad Judin, 26, dan Zaini Abdul Rahim, 24, gembira kerana anak sulung mereka lahir pada hari pertama tahun baru.
Zaini berkata, dia dan suaminya tidak menyangka puteri sulung mereka akan lahir pada tahun baru kerana mengikut jangkaan doktor, anak mereka sepatutnya lahir pada 27 Disember lalu.
Zaini melahirkan bayi perempuan seberat 2.8 kg pada jam 9 pagi. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment