My Add

Saturday 28 January 2012

65 keluarga miskin terima bantuan JPMM

ASIAH Md. Ariff (dua dari kiri) turut bersama-sama membungkus barangan keperluan asas untuk disampaikan kepada penduduk di Kampung Johor Lama, Kota Tinggi, baru-baru ini.

KOTA TINGGI, SABTU, 28 Januari, 2012: Sebanyak 65 keluarga golongan kurang berkemampuan di Kampung Johor Lama dekat sini, menerima sumbangan pada Program Jawatankuasa Penyelarasan Mukim-Mukim (JPMM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Lama, di sini baru-baru ini.

Golongan yang menerima bantuan itu terdiri daripada orang miskin, ibu tunggal, warga emas, pesakit terlantar dan orang kurang upaya (OKU).

Barangan berupa keperluan dapur seperti beras, minyak masak dan gula sumbangan badan korporat itu disampaikan oleh Pengerusi JPPM Johor Lama yang juga ADUN kawasan tersebut, Asiah Md. Ariff.

Hadir sama pada program itu uiialah penduduk dan pemimpin masyarakat setempat.

Sementara itu, seorang penerima bantuan, Salmah Shahdan, 43, berkata, dia tidak dapat membantu suaminya, Muhalil Saiin, 44, yang bekerja sebagai nelayan kerana terpaksa menjaga anak sulung daripada dua beradik, Norkhadijah, 16, yang mengalami penyakit saraf sejak usia enam bulan akibat demam panas.

Menurut Salmah, dia tidak boleh meninggalkan anaknya berseorangan namun, pada masa sama kehidupan harian perlu diteruskan walaupun dalam keadaan serba kekurangan dan menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan untuk Norkhadijah.

“Alhamdulillah, berkat kerja kuat suami yang tidak pernah berputus asa mencari rezeki, sehingga kini kami masih lagi mendapat makanan yang mencukupi.

‘‘Saya juga sangat bersyukur kerana orang di sekeliling terutamanya keluarga serta penduduk sentiasa membantu kami,” katanya.

Katanya, bantuan itu amat diharga walaupun sedar tidak boleh bergantung kepada ihsan sepanjang masa. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment