My Add

Saturday 28 January 2012

DBKL disaran berunding dengan pengusaha

M. Saravanan (kiri) mengedarkan bendera Wilayah Persekutuan kepada peniaga di Little India sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan semasa mengadakan walkabout di kawasan Brickfields, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR, SABTU, 28 Januari, 2012: Tindakan pengendali tempat letak kereta di ibu negara yang mengenakan caj tinggi mendapat teguran daripada Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar.

Timbalan Menterinya, Datuk M. Saravanan berkata, ada di antara pengusaha terbabit yang menyewa tapak daripada kerajaan dengan bayaran rendah tetapi mengenakan caj tinggi.

Sehubungan itu, beliau menyarankan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) supaya mengkaji semula kadar sewa yang dikenakan pemilik tempat letak kereta.

"Sebagai contoh, caj yang dikenakan di kawasan Little India terlalu mahal walaupun mereka meletak kenderaan untuk sekejap sahaja," katanya ketika ditemui selepas menjayakan walkaboutKempen Jom Kibar Bendera Wilayah Persekutuan di Little India, Brickfields di sini, semalam.

Saravanan menambah, kajian sama ada harga yang dikenakan pada kadar rata atau mengikut tempoh waktu meletak kenderaan juga perlu dilakukan.

"DBKL perlu mengumumkan satu kadar bayaran yang munasabah supaya adil kepada semua pihak," katanya.

Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George pula berkata, DBKL perlu berunding dengan semua pengusaha bagi mencari titik penyelesaian kepada isu yang sudah lama dipersoalkan itu.

"Jangan dibiarkan isu ini berpanjangan tanpa ada jalan penyelesaian demi menjaga kepentingan semua pihak tidak kira bagi pihak pengusaha mahu pun majoriti pengguna.

"Penyelarasan ini penting agar ia tidak membebankan pengguna. Kita perlu keputusan adil atau situasi menang-menang untuk manfaat kedua-dua pihak," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Selangor dan Wilayah Persekutuan, Mohd. Yusof Abdul Rahman berkata, DBKL perlu mewujudkan lebih banyak tempat letak kereta mesra pengguna terutamanya di tempat tumpuan awam atau membuat penyeragaman kadar maksimum harga.

"Disebabkan kegagalan itulah, banyak pengusaha mula mengambil kesempatan dengan meletakkan harga yang tidak munasabah termasuk menjadikan ia sumber pendapatan dan secara langsung menekan pengguna.

"Pengguna pula tiada pilihan lain terpaksa menerima tekanan itu kerana pengangkutan masih belum efisien," katanya. - UTUSAN


No comments:

Post a Comment