My Add

Monday 2 January 2012

Amaran MB Terengganu, jangan cuba murtadkan umat Islam

KUALA TERENGGANU, ISNIN, 02 Januari, 2012: Kerajaan negeri Terengganu memberi amaran kepada mereka yang dianggap cuba 'bermain api' untuk memurtadkan umat Islam termasuk orang kelainan upaya (OKU) di negeri ini. 

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, berkata mereka yang terbabit harus menghormati umat Islam dan menghentikan perbuatan yang bertentangan dengan perlembagaan negara kerana dikhuatiri akan mencetuskan ketegangan kaum dan agama.

"Gerakan itu sangat serius dan perlu diberi perhatian sewajarnya oleh semua pihak khususnya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT)...JHEAT perlu mengemukakan laporan kepada kerajaan. Kita juga minta kerjasama masyarakat Islam yang tahu mengenainya agar memaklumkan kepada pihak berwajib.

"Perkara ini adalah isu yang sensitif, ini soal yang serius. Jangan cuba bermain api," katanya kepada pemberita selepas melawat kanak-kanak mangsa kemalangan jalan raya, Iman Adam Raman, 9, yang lumpuh di Kampung Kebor Besar dekat sini, hari ini. 

Ahmad berkata demikian ketika diminta mengulas pendedahan JHEAT baru-baru ini bahawa wujud pihak tertentu yang bergerak aktif dalam usaha memurtadkan umat Islam di negeri itu termasuk OKU. 

Pesuruhjaya JHEAT, Mohd Rozali Saleh ketika mendedahkan perkara itu baru-baru ini berkata, gerakan itu turut menyusup ke hospital untuk memperdaya pesakit yang sebatang kara selain mat rempit dan golongan tidak berkemampuan. 

Mohd Rozali turut meluahkan kebimbangannya dengan gejala itu dan menurutnya tindakan sewajarnya akan diambil bagi membendung perkara itu daripada menjadi bertambah serius. 

Ahmad bagaimanapun menjelaskan pihaknya masih belum menerima laporan terperinci mengenai perkara itu daripada JHEAT. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment