Oleh MUZDALIFAH MUSTAPHA
KUALA LUMPUR, AHAD, 29 Januari, 2012: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan sahaja takut untuk menyaman individu-individu yang pernah rapat dengannya, malah beliau tidak pernah menafikan setiap kenyataan yang dikeluarkan mereka mengenainya.
Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong (gambar) berkata, ia memperlihatkan bahawa kenyataan bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Senator Ezam Mohd. Noor terbukti benar.
"Kita hairan apa perlunya Anwar takut untuk bertindak ke atas individu-individu terbabit. Anwar boleh sahaja menyaman mereka atas alasan memfitnah. Itu mudah sahaja untuk dirinya yang sememangnya suka mengkritik.
"Kalau kita fikirkan, semua dakwaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah terhadapnya amat serius dan mengenali ketua pembangkang itu, beliau memang seorang yang suka failkan saman, tetapi apakah muslihatnya kali ini?" soalnya ketika dihubungi Mingguan Malaysia.
Beliau diminta mengulas kenyataan Ezam bahawa tindakan Anwar yang enggan menyaman beberapa individu termasuk dirinya merupakan bukti semua dakwaan yang dibuat terhadap ketua pembangkang itu adalah benar.
Choo Keong seterusnya berkata, orang awam sebenarnya boleh menilai tingkah laku Anwar, tetapi oleh kerana tiada bukti maka mereka terutama pengikutnya terus memberi sokongan kepada beliau.
Dalam pada itu, Ketua Pemuda Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA), Mohd. Faizal Jaafar berkata, Anwar bukan seorang pemimpin yang perlu dicontohi kerana sifatnya yang lebih banyak buruk daripada baik.
Kata beliau, Anwar cukup berani untuk menyaman Utusan Malaysia yang pada dasarnya hanya medium pelapor dan bukan pendakwa sedangkan individu-individu yang rela disaman dan dengan sengaja membuat kenyataan terhadap dirinya tidak pula disaman.
"Suatu waktu dahulu, Utusan yang menjulang nama Anwar, malah beliau juga gemar ditemu bual oleh akhbar ini. Tetapi hari ini oleh kerana beliau pembangkang, maka Utusan (dijadikan) musuh utamanya.
"Justeru, harapan kami kepada anak-anak muda hari ini sekiranya kita ingin dihormati jangan kita lupa jasa orang lain walaupun perjalanan kita sudah tidak sehaluan," katanya.
No comments:
Post a Comment