My Add

Sunday 1 January 2012

ATM serah semula tugas OPS Nyah 1 kepada PDRM

BANTING, AHAD, 01 Januari, 2012: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hari ini menyerahkan semula tugas di bawah Ops Nyah 1 kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM). 

Upacara penyerahan semula tugasan operasi itu berlangsung di Markas Taktikal PGA (Pasukan Gerakan Am) di Pantai Morib di sini oleh ATM yang diwakili oleh Panglima 11 Infantri ATM, Brigadier Jeneral Azmi Borhan manakala PDRM diwakili oleh Komander Briged Tengah PGA, SAC Datuk Mohd Rodzi Ismail.

Azmi berkata, Ops Nyah 1 yang di bawah tanggungjawab PDRM sebelum ini diserahkan kepada ATM sejak 15 November 2010, menerusi kerjasama PDRM dan ATM di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan.

Matlamat Ops Nyah 1 ini adalah bagi menghalang kemasukan pendatang asing tanpa izin ke dalam negara, membanteras kegiatan penyeludupan dan mewujudkan perasaan selamat di kalangan rakyat dengan kehadiran polis atau tentera di kawasan penempatan mereka. 

"Upacara pada hari ini adalah simbolik penyerahan tugas Ops Nyah 1 daripada ATM kepada PDRM yang akan dilaksanakan di seluruh negara mulai hari ini sehingga 15 Januari ini," katanya kepada pemberita selepas majlis itu. 

Azmi berkata, terdapat 23 pos pengawal di sepanjang 330 kilometer pantai di Selangor dari Sepang sehingga ke Sabak Bernam yang di bawah kendalian ATM di bawah Ops Nyah 1. 

Beliau berkata, sebelum ini ATM ditugaskan mengambil alih pelaksanaan Ops Nyah 1 supaya PDRM boleh menumpukan perhatian kepada salah satu Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) iaitu menurunkan kadar jenayah. 

Mohd Rodzi berkata, hasil kerjasama ATM dan PDRM, anggota PDRM termasuk pengambilan baru dapat dilatih di pusat latihan ATM, pasukan polis tentera melakukan rondaan bersama dengan PDRM di kawasan berhampiran kem tentera dan penyerapan anggota-anggota ATM yang bersara awal ke dalam PDRM. - BERNAMA 


No comments:

Post a Comment