My Add

Sunday 1 January 2012

Modul I-Smart bantu pelatih PLKN lemah membaca

KUCHING, AHAD, 01 JANUARI, 2012: Satu modul baru, I-Smart, akan diperkenalkan dalam program Latihan Khidmat Negara (PLKN) bermula tahun ini untuk membantu pelatih yang menghadapi masalah menulis dan membaca, kata Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara, Datuk Dr Tiki Lafe. 

Beliau berkata, peruntukan modul kecil itu akan bergantung kepada jumlah pelatih yang didapati menghadapi masalah itu.

"Pelatih yang kita dapati mempunyai masalah membaca atau menulis akan diberikan latihan khas atau kelas khas oleh pelatih," katanya kepada pemberita selepas melancarkan siri latihan PLKN 9/2012 di sini hari ini.

Dr Tiki berkata, purata lima peratus pelatih yang dipilih menyertai latihan itu didapati menghadapi masalah membaca dan menulis. 

Beliau berkata, satu lagi modul sampingan iaitu untuk membantu pelatih yang menghadapi masalah berat badan berlebihan, sedang dibangunkan dan mungkin diperkenalkan pada sesi latihan PLKN akan datang pada April tahun ini. 

Sementara itu, Jabatan Latihan Khidmat Negara, dalam satu kenyataan, menyatakan 140,000 pelatih terbabit dalam siri 9/2012 yang dijalankan di 82 kem di seluruh negara. 

Daripada jumlah itu, 3,580 pelatih adalah dari Sarawak, dan 498 daripada mereka dipilih menjalani latihan di kem di Semenanjung. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment