My Add

Saturday 28 January 2012

GLC, swasta digalak tandatangan CIP: SPRM

KUALA LUMPUR, SABTU, 28 Januari, 2012: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggalakkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat swasta menandatangani Ikrar Integriti Korporat (CIP) dalam usaha mencegah gejala rasuah. 

Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Sutinah Sutan, berkata langkah itu
dapat mewujudkan persekitaran perniagaan yang bebas daripada rasuah sekali gus memberi nilai tambah kepada negara.

"Kita tak paksa syarikat untuk tandatangani tapi kita galakkan kerana 
apabila banyak syarikat berbuat demikian, ia mencerminkan kesepakatan kita untuk 
perangi rasuah. 

"Dan ini dapat beri persepsi baik kepada pelabur asing bahawa di Malaysia 
wujud persaingan yang sihat," katanya ketika menjadi tetamu dalam program Helo 
Malaysia terbitan Bernama TV di Wisma Bernama, malam tadi. 

Sutinah berkata, antara elemen penting dalam CIP ialah Persepakatan Integriti 
Korporat yang akan ditandatangani syarikat yang terlibat dalam proses perolehan 
sesuatu projek. 

Sutinah berkata, menerusi persepakatan itu, pihak yang menawar dan menerima 
sesuatu projek berjanji tidak akan terbabit dengan rasuah sepanjang pelaksanaan 
urusan berkaitan, malah berikrar untuk membuat laporan kepada SPRM jika ada 
cubaan rasuah. 

Menurut beliau, SPRM akan bekerjasama dengan syarikat yang terbabit dari 
semasa ke semasa dalam memastikan perjalanan operasi bebas daripada rasuah serta membantu menyelesaikan sebarang kes rasuah yang mungkin berlaku. 

Pegawai SPRM itu menarik perhatian bahawa persaingan sengit dalam kalangan 
syarikat menyebabkan ada yang menawarkan rasuah untuk mendapatkan projek. 

"Bagi syarikat yang beretika, mereka akan guna keupayaan sebenar mereka 
untuk dapat kontrak...tapi ada juga yang ambil jalan mudah dengan menawarkan 
rasuah," katanya. 

Dalam pada itu, Sutinah menjelaskan tiada istilah rasuah kecil atau rasuah 
besar mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 kerana setiap 
perbuatan memberi sesuatu dengan maksud untuk mendapatkan ganjaran dianggap 
sebagai rasuah. 

"Mengikut undang-undang, tiada klasifikasi rasuah kecil atau besar, itu cuma 
andaian umum. Walaupun RM1 tapi kalau pemberian itu ada tujuan maka kita boleh 
katakan itu rasuah," tegasnya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment