My Add

Saturday 28 January 2012

Politik kebencian hancur masa depan negara

Oleh Rizal Abdul Rahman

Jangan takut kepada kekalahan, usah terlalu taksub untuk berkuasa 

KEBELAKANGAN ini ramai orang begitu taksub dengan fahaman politik masing-masing sehingga berulang kali merendahkan kemampuan intelektual dan memilih hanya untuk mempercayai hal yang ingin mereka percaya saja.

Oleh kerana terlalu taksub dan mempunyai sifat benci yang tinggi pada lawan, puak dari pelbagai kubu politik sering menerima apa saja yang disajikan tanpa memeriksa kebenaran maklumat yang diterima.

Kebebasan berfikir dan memilih dengan baik adalah anugerah sebagai rakyat yang bebas. Hari ini perkara itu menjadi lebih sulit. Kubu pembangkang, demi kepentingan politik sering memberi fakta putar belit yang mengelirukan dan lebih buruk lagi, fokus utama kubu mereka adalah berkata buruk pada pihak lawan. 

Tidak lama dulu, kempen politik adalah demi meyakinkan pemilih tentang perkara yang boleh dilakukan calon yang bertanding. Agenda bangsa, negara selalu menjadi fokus kempen. Pada ketika itu, pemilih memilih orang yang benar-benar boleh mewakili mereka dan suara mereka. 

Hari ini mereka yang terpilih bergantung kepada kepandaian calon mencaci-cerca lawan. Kemenangan tidak tergantung kepada kualiti calon terpilih tetapi bergantung kepada sebanyak mungkin keburukan pihak lawan dapat didedahkan. 

Kini rakyat Malaysia yang boleh mengundi terbahagi kepada tiga golongan. Pertama dan kedua adalah mereka yang begitu antikerajaan dan antipembangkang. Ketiga adalah golongan yang malas mengambil tahu. 

Golongan ketiga ini terbahagi pula kepada dua. Pertama mereka yang malas mengambil tahu kerana kurang berminat, tetapi yang lebih ramai adalah mereka yang malas mengambil tahu kerana muak dengan permainan politik yang nampak berat sebelah. 

Ini satu fenomena yang menyedihkan. Rakyat dan pemilih yang baik adalah mereka yang seharusnya memilih kerana menyokong, bukan membenci. Budaya menyokong calon yang ingin dipilih akan menghasilkan keputusan lebih baik. 

Pemilih sebegini akan meletakkan ‘kayu ukur’ sebelum memilih pemimpin mereka. Ciri-ciri seperti calon yang lebih bijak, mampu mewakili pemilih lebih baik, tidak angkuh atau sombong boleh dijadikan antara kriteria. 

Sebagai contoh, pemilih yang menyokong kerajaan seharusnya bijak memilih calon yang mempunyai ciri-ciri berkenaan. Jika ‘kayu ukur’ mereka lebih cenderung kepada calon yang berkualiti, demi hasil pilihan raya yang lebih baik, adalah bijak untuk memilih calon berkenaan. Ini kuasa memilih sebagai rakyat yang bebas dan bijak. 

Apabila kita tanamkan sifat benci dan anti, sudah tentu kita tidak akan dapat menggunakan kuasa memilih dengan baik. Oleh kerana kita benci dan anti kepada pihak lawan, kita tidak mempunyai banyak pilihan kerana keinginan benci membuak ingin pihak lawan itu kalah walaupun belum tentu calon yang kita pilih adalah calon yang lebih baik. 

Kebencian mengaburi keputusan yang dibuat dan keputusan dibuat atas kebencian serta pertimbangan yang tidak baik bererti satu keputusan tidak bijak. Tidak salah singkatan bahasa Melayu 'membabi-buta' untuk memilih haiwan itu mewakili cara tidak bijak seseorang yang terburu-buru. 

Politik kebencian perlu dijauhkan daripada corak politik Malaysia. Politik benci mungkin berhasil untuk membuat pemilih membenci pihak lawan dan akhirnya tidak ada pilihan dan memilih kita tetapi cara ini tidak akan membawa Malaysia menjadi negara yang lebih baik. 

Politik kebencian akan melalaikan perjuangan, melambatkan pertumbuhan, menjadi risiko kepada rusuhan seterusnya memusnahkan semua yang tercapai. Mungkin secara peribadi ia menguntungkan, hakikatnya secara keseluruhan ia mampu merosakkan Malaysia. 

Tidak salah untuk berpolitik secara lebih sihat. Rakyat Malaysia dan pemilih hari ini sudah tentu lebih bijak mengetahui apa yang lebih baik buat mereka. Jangan terlalu takut kekalahan atau terlalu taksub ingin berkuasa, Malaysia sudah berada di landasan baik dan pemimpin yang ideal adalah mereka yang menolak kepentingan diri sendiri dan sama-sama lebih bertanggungjawab membawa Malaysia ke hadapan dengan baik. - BERITA HARIAN 

Penulis adalah Setiausaha Agung Kelab UMNO Indonesia 

No comments:

Post a Comment