My Add

Saturday 28 January 2012

Isu murtad: Himpun sokong penubuhan jawatankuasa pusat

KEPALA BATAS, SABTU, 28 Januari, 2012: Sekretariat Perhimpunan Sejuta Umat (Himpun) menyokong penubuhan Jawatankuasa Pusat Penguatkuasaan Undang-undang Syariah bagi mempertingkatkan penguatkuasaan enakmen berhubung penyebaran agama oleh bukan Islam kepada orang Islam.

Timbalan Pengerusi Himpun Kebangsaan, Abdullah Zaik Abd Rahman berkata, jawatankuasa itu penting bagi membendung gejala penyebaran agama oleh bukan Islam kepada orang Islam yang kian berleluasa dewasa ini.

"Himpun menyokong usaha Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharum untuk melaksanakan jawatankuasa itu di setiap negeri.

“Setakat ini, Himpun belum buat sebarang tindakan, tetapi kami sangat bersetuju dengan penubuhan jawatankuasa itu,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan pidatonya di Perhimpunan Sejuta Umat ”Selamatkan Akidah” di Dewan Budi Penyayang, di sini, hari ini.

Lebih 3,000 orang menghadiri perhimpunan yang memasuki siri keempat itu.

Katanya, setakat ini undang-undang syariah yang sedia ada hanyalah untuk orang Islam, menangani orang Islam yang murtad, tetapi bukan untuk orang yang memurtadkan orang Islam.

Abdullah Zaik berkata, Himpun juga akan menyerahkan memorandum yang mengandungi cadangan Akta Murtad kepada Majlis Raja-Raja dalam usaha membendung gejala ini daripada terus berleluasa di negara ini. – BERNAMA

No comments:

Post a Comment